KUALA LUMPUR - Kajian terperinci perlu dijalankan bagi memahami dengan lebih lanjut isu perbezaan caj rawatan hospital swasta antara pesakit yang menggunakan surat jaminan (guarantee letter) dan mereka yang membayar dahulu sebelum membuat tuntutan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, berdasarkan kajian ke atas bil tuntutan hospital swasta kepada syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO), terdapat kes tertentu yang menunjukkan jumlah kos rawatan lebih tinggi bagi pesakit yang menggunakan surat jaminan berbanding mereka yang membayar dahulu sebelum membuat tuntutan.
"Memandangkan caj rawatan yang dikenakan adalah kurang telus, kajian yang lebih terperinci perlu dijalankan untuk memahami dengan lebih lanjut isu perbezaan caj ini serta langkah-langkah susulan yang boleh diambil,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan perbezaan caj hospital swasta mengikut bayar dahulu dan tuntut kemudian dan surat jaminan.
Hui Ying turut menegaskan bahawa kerajaan peka terhadap isu ini termasuk pengalaman rakyat yang disuarakan semasa sesi pendengaran awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan, hospital swasta dan pihak ITO, sedang berusaha mencari penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu inflasi kos perubatan serta caj hospital swasta.
"Ini termasuk meningkatkan ketelusan kos ubat-ubatan serta perbandingan kos perubatan lazim. Pelan tindakan bersepadu ini telah pun dibentangkan ke Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semalam,” katanya.
Dalam pada itu, Hui Ying berkata, berdasarkan dapatan awal pangkalan data tuntutan bersepadu industri insurans dan takaful (ITO), beberapa jenis penyakit mencatatkan kadar tuntutan yang tinggi bagi rawatan hospital pada tahun 2023 di bawah insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT).
Antara penyakit yang kerap dituntut ialah pneumonia, masalah berkaitan tulang belakang, gangguan sistem pencernaan dan penyakit jantung. - Bernama
_____________________________________________________________________________________________________
Kajian kebolehlaksanaan laporan terperinci insurans perubatan akan dilaksana
KUALA LUMPUR - Kajian lebih mendalam akan dijalankan bagi mempertimbangkan kebolehlaksanaan pelaporan terperinci keuntungan dan kerugian setiap polisi insurans perubatan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, pada masa ini, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) tidak diwajibkan untuk menyenaraikan secara terperinci keuntungan dan kerugian setiap polisi insurans perubatan.
Bagaimanapun katanya, setiap ITO dikehendaki untuk mengisytiharkan keuntungan dan kerugian mereka dalam penyata kewangan tahunan mereka selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 17.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Teresa Kok Suh Kim (PH-Seputeh) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengarahkan syarikat insurans untuk menyenaraikan secara terperinci keuntungan dan kerugian setiap polisi insurans perubatan bagi memastikan ketelusan dalam menentukan kenaikan premium yang munasabah.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, ITO dikehendaki memastikan sebarang amalan dalaman untuk mentadbir urus peningkatan premium produk insurans, takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) mengambil kira keseimbangan antara kemampuan pemegang polisi dan kemampanan produk MHIT.
"Sebagai contoh, ITO perlu memantau pengalaman kos tuntutan produk MHIT secara objektif, dan hanya boleh menetap semula premium apabila kos tuntutan sebenar merosot secara berterusan dan melebihi nilai ambang yang ditentukan lebih awal dalam amalan dalaman ITO.
"ITO juga dilarang untuk menetapkan semula premium semata-mata untuk meningkatkan keuntungan ITO," katanya.
Menurut beliau, Bank Negara Malaysia telah mempertingkat standard amalan perniagaan MHIT termasuk usaha untuk meningkatkan kesedaran pengguna melalui penambahbaikan lembaran penzahiran produk (PDS) yang lebih ringkas dan mudah difahami.
"Penambahbaikan ini bertujuan menggalakkan pemegang polisi lebih memahami terma dan syarat produk MHIT serta membuat keputusan yang lebih termaklum."PDS juga akan menyatakan nisbah tuntutan pada peringkat industri untuk meningkatkan kesedaran kepada pengguna bahawa sebahagian besar premium adalah diperuntukkan untuk membayar tuntutan," katanya. - Bernama