DAMSYIK - Ribuan penunjuk perasaan mengadakan protes di wilayah Quneitra di barat daya Syria sebagai membantah kehadiran askar Zionis di puncak Gunung Hermon dan di zon penampan di Bukit Golan yang diduduki Israel.
Demonstrasi itu diadakan di bandar Madinat al-Salam dan Khan Arnabeh pada Isnin yang turut menyaksikan peserta demonstrasi itu melaungkan slogan mengutuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan rejim Tel Aviv.
Mereka menyifatkan penempatan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di selatan Damsyik itu sebagai melanggar undang-undang dan mengecam sekeras-kerasnya dasar agresif entiti Zionis itu terhadap Syria setelah ia memperluaskan kempen pencerobohan di Tebing Barat dan berdegil mahu kekal berada di beberapa lokasi di Lubnan.
Kumpulan penunjuk perasaan itu menjerit 'Israel, keluar dari Syria' dan menuntut pengunduran penuh Zionis dari selatan Damsyik.
Protes sama juga dirancang di bandar Jasim dan beberapa lokasi di wilayah Daraa bagi menzahirkan bantahan terhadap campur tangan asing dalam hal ehwal domestik dan pelanggaran kedaulatan negara tersebut.
Pada Ahad, Netanyahu menyatakan IDF akan kekal berada di puncak Hermon dan zon keselamatan bersebelahannya.
Pemimpin 'ekstremis' itu memberi alasan tujuan penempatan askar mereka kononnya untuk melindungi penempatan haram Yahudi dan mengekang sebarang ancaman musuh ke atasnya.
Netanyahu 'gila kuasa'
Netanyahu juga seperti 'gila kuasa' kerana cuba campur tangan hal ehwal negara itu apabila sewenang-wenangnya mengarahkan pentadbiran baharu Syria supaya menguatkuasakan 'penyahtenteraan sepenuhnya' di selatan Syria termasuk di wilayah Quneitra, Dara'a dan Suwayda.
"Israel tidak membenarkan pasukan yang bergabung dengan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) atau tentera baharu Syria untuk memasuki kawasan tersebut,” katanya merujuk kepada pasukan yang menggulingkan rejim bekas Presiden Bashar al-Assad pada 8 Disember lalu.
Gunung Hermon atau Jabal al-Sheikh merupakan gugusan besar puncak gunung bersalji terletak bersempadan Syria-Lubnan.
Ia menghadap ke kawasan luar bandar Damsyik serta Bukit Golan yang dirampas Israel dari Syria ketika Perang Enam Hari pada 1967.
Israel dikecam banyak pihak setelah ia menamatkan perjanjian gencatan senjata 1974 bersama Syria selain cuba mengeksploitasi situasi yang masih tidak stabil di Damsyik setelah kejatuhan rejim Assad untuk menduduki kawasan lebih luas.
Zon penampan di Bukit Golan ditubuhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas Perang Arab Israel pada 1973.
Sejak itu, kira-kira 1,100 anggota misi di bawah PBB dipertanggungjawabkan untuk membuat rondaan di kawasan tersebut.
Pada Disember lalu, Stephane Dujarric yang merupakan jurucakap kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mendakwa kehadiran askar Zionis secara jelas melanggar perjanjian yang menubuhkan zon penampan tersebut.
"Perjanjian itu perlu dihormati. Pendudukan tetap pendudukan. Tidak kira jika ia hanya dalam waktu singkat atau jangka masa panjang,” tegasnya. - Agensi