MAINPP kumpul RM172 juta kutipan zakat sepanjang 2024

Iklan
Mohamad (dua dari kanan) bersama Rosidi (kanan), Mohd Suki (dua dari kiri) dan Mohamad Khairi (kiri) menunjukkan kad prestasi Zakat MAINPP pada 2024.

BUKIT MERTAJAM - Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mencatatkan prestasi kutipan memberangsangkan pada tahun lepas apabila mengumpul RM172 juta iaitu peningkatan sebanyak 8.25 peratus dalam tempoh sama pada 2023.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, jumlah itu merangkumi kutipan zakat harta iaitu RM165.518 juta dan zakat fitrah RM7.336 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada tahun lalu bilangan pembayar (muzakki) untuk zakat harta menurun sebanyak 2.96 peratus iaitu 70,782 orang atau syarikat berbanding tahun 2023, seramai 72,876 orang atau syarikat.

"Penurunan jumlah pembayar dipengaruhi oleh beberapa faktor signifikan termasuklah perubahan kadar nisab, tempoh haul pembayaran zakat, perpindahan tempat bertugas pembayar ke negeri lain, tamat tempoh perkhidmatan (bersara) pada tahun semasa, pemberhentian pekerja dan sebagainya.

Iklan

"Bagaimanapun bilangan pembayar (muzakki) untuk zakat fitrah pada tahun tahun lalu mencatat peningkatan 0.9 peratus iaitu seramai 836,831 orang berbanding 829,304 orang pada 2023," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Zakat MAINPP, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain; Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman dan Ketua Divisyen Projek Khas Zakat MAINPP, Mohamad Khairi Ghazali.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Mohamad berkata, jumlah kutipan zakat melalui Skim Sakinah (skim potongan bulanan) pada tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 5.12 peratus iaitu sebanyak RM60 juta.

Manakala kutipan zakat harta melalui portal www.zakatpenang2u.com turut mencatat peningkatan 24.1 peratus iaitu RM15 juta berbanding 2023 iaitu sebanyak RM12 juta sahaja.

Beliau berkata, peningkatan pembayaran zakat melalui laman portal ini memberi gambaran bahawa pembayar zakat di Pulau Pinang sudah mulai menggemari kaedah pembayaran digital yang mudah dan cepat.

Sementara itu, Mohamad berkata, tahun lepas Zakat MAINPP telah berjaya mengagihkan zakat sebanyak RM162.286 juta pada tahun lalu berbanding RM147.406 juta tahun 2023, melibatkan peningkatan sebanyak 10.09 peratus.

Jelasnya, bilangan penerima zakat (mustahik) bagi tahun 2024 juga meningkat sebanyak 2.61 peratus iaitu sebanyak 44,485 individu dan institusi berbanding pada tahun 2023 iaitu seramai 43,354 individu atau institusi.

"Berdasarkan prestasi serta pencapaian positif yang ditunjukkan oleh Zakat MAINPP pada 2024 membuktikan secara jelas keyakinan masyarakat terhadap institusi ini.

"Penjenamaan semula Zakat MAINPP merupakan langkah transformasi untuk terus melonjakkan pencapaian sedia ada ke tahap yang lebih tinggi bagi mendepani cabaran pada masa hadapan.

"Transformasi ini juga bagi memantapkan lagi peranan, strategi dan tadbir urus agar lebih berkesan," katanya lagi.

Berkenaan penetapan kadar zakat fitrah pada tahun ini, Mohamad berkata, ia akan diumumkan pada Khamis depan.