KUALA TERENGGANU - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan menjalankan pemantauan ke atas beberapa premis bagi menghalang umat Islam membeli makanan pada waktu tidak dibenarkan sepanjang Ramadan.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pemantauan itu dibuat susulan laporan diterima berhubung pembelian makanan di premis tersebut pada Ramadan tahun lalu.
"Ops Supik Hitam akan diteruskan tahun ini kerana ada individu Islam yang tidak berpuasa dikesan membeli makanan di kedai serbaneka 24 jam dan premis bukan Islam.
"Saya telah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah ini," katanya pada sidang akhbar Ops Supik Hitam di Wisma Darul Iman, di sini, pada Selasa.
Muhammad Khalil berkata, Bahagian Penguatkuasaan JHEAT telah diarahkan mengenal pasti premis yang menjual makanan kepada individu tidak berpuasa pada tahun lalu.
"Sebanyak dua kes melibatkan kesalahan tidak berpuasa direkodkan tahun lepas di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
"Saya mengingatkan peniaga agar mematuhi waktu operasi kedai makan dan jualan makanan yang ditetapkan PBT masing-masing demi menjaga kesucian Ramadan.
"Kegagalan mematuhi undang-undang boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara selama dua tahun," katanya.