PASIR MAS - Seorang wanita pengsan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 di sebuah majlis kenduri kahwin di Tasek Berangan pada 1 Februari lalu.
Prosiding pendakwaan tertangguh selama 10 minit selepas tertuduh, Tuan Maimun Che Tuan, 61, hampir rebah semasa membuat pengakuan di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi selepas anggota polis mengemukakan bukti-bukti kes.
Keadaan itu menyebabkan mahkamah memberi ruang kepada warga emas itu untuk bertenang.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan curi dalam bangunan iaitu wang sebanyak RM2,500 milik Norhayati Mohd. Noor, 59, di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan di sini kira-kira jam 12.42 tengah hari pada 1 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan bagi kesalahan kedua, penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimi manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Amira Mat.
Terdahulu, Syazalia memohon hukuman yang setimpal dikenakan kerana mengambil kira kepentingan awam dan mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM2,500.
"Tertuduh juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes sama. Tertuduh juga mengaku bersalah atas kesalahannya sekali gus menunjukkan bahawa dia tidak insaf atas perbuatannya.
"Justeru, pihak pendakwaan memohon hukuman yang setimpal termasuk denda dikenakan kepada tertuduh,” katanya.
Nur Amira dalam rayuannya memaklumkan tertuduh merupakan ibu kepada enam orang anak tinggal seorang diri selain mempunyai penyakit darah tinggi, kolesterol dan masih dalam rawatan selepas menjalani pembedahan usus.
"Pengakuan bersalah tertuduh sudah banyak menjimatkan masa mahkamah. Justeru, tertuduh memohon hukuman penjara dan denda paling minimum bagi kesalahan tersebut,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara 24 bulan bermula tarikh sabitan dan denda RM3,000 dengan tambahan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut fakta kes, Norhayati pergi ke rumah ibunya di Kampung Tasek Berangan di sini untuk menghadiri kenduri kahwin anak saudara sebelum meletakkan beg tangan di atas almari bahagian dapur rumah tersebut.
Mangsa mendapati beg tangan berisi wang RM2,500 yang diletakkan di atas almari hilang semasa mahu pulang.
Pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di bahagian dapur rumah itu menunjukkan tertuduh mengambil wang RM2,500 dan meninggalkan beg tangan mangsa di atas almari pinggan mangkuk berhampiran tandas bahagian dapur rumah.