GUA MUSANG - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai merempuh seekor lembu yang melintas secara tiba-tiba di Jalan Chiku 1-Chiku 3 di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Ex-5 dalam perjalanan dari Chiku 1 menghala ke Chiku 3 sebelum haiwan ternakan berkenaan melintas dari kiri ke kanan jalan.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas sebelum terjatuh di atas jalan.
"Mangsa mengalami kecederaan parah dan telah dibawa oleh orang awam ke Klinik Chiku 3 untuk mendapatkan rawatan awal. Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Ujarnya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Choon Foo turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 099-121222 atau 013-3010408.