Polis belum sahkan nahas 12 motosikal akibat lumba haram

Iklan
Mohammad Azlin (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima sempena Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita 2026 dan Diskusi Town Hall Ketua Polis Perak Bilangan 2 di Dewan Bandaran Kinta di sini pada Sabtu.

BATU GAJAH - Polis belum dapat mengesahkan sama ada sekumpulan penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang di sini awal pagi Sabtu mempunyai kaitan dengan aktiviti lumba haram.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya perlu mengambil keterangan daripada sembilan penunggang motosikal yang masih menerima rawatan di hospital bagi mengetahui keadaan sebenar sebelum dan ketika kemalangan berlaku.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua penunggang terbabit berusia antara 19 hingga 25 tahun dan dipercayai bergerak dalam satu kumpulan dari kawasan Meru Raya sebelum kejadian.

"Kita belum dapat sahkan lagi sama ada mereka merempit atau tidak kerana kita belum ambil keterangan mereka yang sedang dirawat di hospital ketika ini.

Iklan

"Apabila keadaan mengizinkan, kita akan ambil keterangan mereka untuk merungkai apa sebenarnya yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita 2026 dan Diskusi Town Hall Ketua Polis Perak Bilangan 2 di Dewan Bandaran Kinta di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 pagi itu, dua penunggang motosikal masing-masing berusia 19 dan 20 tahun maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penunggang berusia 19 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Iklan

Mohammad Azlin berkata, sembilan lagi penunggang motosikal masih menerima rawatan di hospital, manakala tiga pemandu kereta yang turut terlibat tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan sebuah kereta berlaku lebih awal di lokasi berkenaan sehingga kenderaan itu berada di laluan pengguna jalan raya lain.

"Penunggang motosikal ini bergerak dalam jarak yang rapat sebelum melanggar kenderaan berkenaan dan menyebabkan berlaku pelanggaran berantai.

"Bila seorang kena, yang lain pun turut terlanggar kerana mereka bergerak dalam keadaan rapat," katanya.

Menurutnya, faktor pencahayaan di lokasi yang mungkin tidak begitu terang turut diambil kira dalam siasatan bagi menentukan punca dan urutan sebenar kemalangan.

Mohammad Azlin berkata, lokasi kejadian juga bukan antara laluan yang dikenal pasti sebagai lokasi popular kegiatan lumba haram meskipun polis mempunyai beberapa lokasi lain yang sering dipantau berhubung aktiviti berkenaan.

"Polis sentiasa menjalankan operasi membanteras kegiatan lumba haram dan merempit di seluruh negeri termasuk di sekitar Ipoh.

"Jadi kita belum boleh mengatakan mereka merempit atau menunggang dengan laju kerana kita perlu mengambil keterangan mereka terlebih dahulu dan melihat keseluruhan siasatan," katanya.