Peranan besar media sampai maklumat sahih, benar - SPRM

Iklan
Abd Halim (tengah) bergambar bersama warga media di Program Menembak SPRM Bersama SPRM di Penjara Kajang pada Sabtu.

KAJANG - Media mempunyai peranan besar dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat dalam usaha membanteras rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, ditegaskan bahawa pihaknya tidak boleh bergerak bersendirian dan media merupakan salah satu rakan strategik yang amat penting kepada SPRM.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam era digital yang begitu pantas hari ini, masyarakat bukan sahaja memerlukan maklumat yang cepat, tetapi lebih penting lagi, mereka memerlukan maklumat yang sahih, benar, tepat dan bertanggungjawab.

"Saya amat berharap hubungan baik antara SPRM dan media dapat terus diperkukuhkan, khususnya dalam memastikan isu-isu berkaitan rasuah dilaporkan secara profesional, beretika dan berintegriti.

Iklan

"Dalam konteks kewartawanan, integriti menjadi asas kepada kepercayaan masyarakat.

"Setiap berita yang disampaikan mempunyai kesan terhadap persepsi awam, reputasi individu dan organisasi, malah boleh mempengaruhi keyakinan masyarakat terhadap institusi negara," katanya ketika berucap semasa Program Menembak SPRM Bersama Media di Penjara Kajang di sini pada Sabtu.

Iklan

Program turut dihadiri Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Mengulas lanjut kata Abd Halim, SPRM sentiasa komited untuk memastikan maklumat berkaitan tindakan dan usaha membanteras rasuah disampaikan dengan sewajarnya kepada masyarakat.

Jelas Abd Halim, pihaknya mahu masyarakat memahami bahawa perjuangan menentang rasuah bukan semata-mata mengenai tangkapan, pendakwaan atau hukuman.

"Ia juga berkaitan pencegahan, pendidikan, kesedaran dan pembudayaan nilai integriti dalam kehidupan seharian.

Mengulas berkenaan program bersama media terbabit, beliau berharap program seperti ini tidak terhenti setakat hari ini.

"Sebaliknya, ia menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk membina hubungan yang lebih kukuh antara SPRM dengan pihak media," ujarnya.

Tambahnya lagi, program menembak ini sebagai satu peluang kepada rakan-rakan media untuk merasai sendiri, walaupun dalam skala yang berbeza, aspek ketelitian, disiplin, fokus, kawalan emosi dan ketepatan yang diperlukan oleh pegawai SPRM dalam melaksanakan tugasan mereka.

"Ketika berada di lapangan, pegawai SPRM perlu sentiasa tenang, berdisiplin dan membuat pertimbangan yang tepat.

"Penggunaan senjata api bukan soal kekuatan atau keberanian semata-mata, sebaliknya menuntut disiplin, kawalan diri, pematuhan kepada prosedur keselamatan dan tanggungjawab yang tinggi," ujarnya.