'Berangkat mencari ilmu, pulang sebagai jenazah'

Iklan
Ahmad Nazrul berkongsi pengebumian pasangan suami isteri yang maut ketika berkonvoi untuk menghadiri majlis ilmu di Kuala Terengganu. Foto: FB Ahmad Nazrul

BESUT – Tiada siapa menyangka konvoi motosikal untuk menghadiri program bersama pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar dan ESR Motor Perlis, Khamis lalu, menjadi perjalanan terakhir buat sepasang suami isteri.

Pasangan, Mohd Zamri Mohd Zaki, 41, dan Norlyana Ismail, 45, dari Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu itu pada awalnya hanya mahu menikmati perjalanan santai bersama rakan-rakan menuju ke Kuala Perlis.

Iklan
Iklan

Perjalanan itu bertukar tragedi apabila pasangan berkenaan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori di Jalan Gong Kedak, Besut kira-kira jam 9.45 pagi.

Aktivis masyarakat, Ahmad Nazrul dalam perkongsiannya di Facebook memaklumkan mangsa bersama rakan konvoi sempat bersarapan bersama sebelum insiden itu.

Iklan

Lebih memilukan, Mohd Zamri dan Norlyana meninggalkan dua anak, masing-masing lelaki dan perempuan, berusia 19 dan 17 tahun.

Berita kehilangan ibu dan bapa itu membawa kesedihan besar buat keluarga setelah mereka tiba di Unit Forensik Hospital Besut untuk melihat pasangan berkenaan buat kali terakhir.

Iklan

"Tangisan pecah. Ibu dan ayah kedua-dua arwah hadir untuk melihat anak mereka buat kali terakhir.

"Tiada lagi suara ayah. Tiada lagi senyuman ibu.

Tiada lagi tempat untuk mereka mengadu," kongsinya.

Menurut perkongsian itu lagi, setelah selesai urusan mandi dan kafan, ahli keluarga diberi kesempatan untuk melihat dan mengucup jenazah buat kali terakhir.

"Anak-anak mereka hanya mampu menangis. Mengucup lembut wajah kedua-dua insan yang selama ini menjadi tempat mereka bergantung.

"Itulah saat paling berat bagi seorang anak," tulisnya lagi.

Kedua-dua jenazah dibawa pulang ke Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, Kuala Terengganu untuk disemadikan.

Katanya, ratusan ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan hadir mengiringi perjalanan terakhir mereka.

"Dua insan yang pagi tadi masih hidup, tersenyum dan berkongsi perjalanan bersama sahabat, kini berbaring bersama dalam satu liang lahad.

"Begitulah kehidupan. Kita merancang perjalanan, kita merancang tempat yang mahu dituju, kita merancang masa untuk bersama keluarga dan sahabat.

"Tetapi ALLAH mempunyai perancangan yang jauh lebih sempurna," titipnya.