Sembunyi burung merbuk bawah timbunan beg pakaian

Iklan
Burung merbuk yang dirampas bersama sangkar buluh.

KOTA BHARU - Taktik seorang lelaki warga Thailand menyembunyikan burung merbuk di bawah timbunan beg pakaian, yang cuba diseludup ke negara ini digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pada Jumaat lepas.

Dalam pemeriksaan di Kompleks Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor kira-kira jam 10 pagi itu, lelaki berusia 50-an yang memandu sebuah kereta bernombor pendaftaran tempatan dikesan membawa tiga ekor burung merbuk tanpa permit sah.

Iklan
Iklan

Ketua Pintu Masuk Maqis Pengkalan Kubor, Mohd Ariwadi Mohd Salleh berkata, kegiatan tersebut terbongkar hasil pemeriksaan rapi pegawai bertugas di laluan kenderaan penumpang.

Menurut beliau, pegawai menjalankan pemeriksaan rutin ke atas sebuah kenderaan dari Thailand dan semasa pemeriksaan di bonet belakang menemukan satu sangkar burung.

Iklan

"Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, kami menemukan tiga ekor burung merbuk yang disembunyikan dalam bekas plastik yang dilapisi span serta diletakkan di bawah timbunan beg pakaian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Semasa pegawai mengangkat beg, bunyi kicauan burung kedengaran sebelum burung tersebut ditemui dalam keadaan terkurung,” katanya dalam kenyataan pada Isini.

Iklan

Mohd Ariwadi berkata, suspek gagal mengemukakan sebarang permit sah daripada Maqis dan sijil kesihatan veterinar untuk membawa masuk haiwan yang boleh mencapai harga hampir RM2,000 seekor berkenaan.

"Burung yang cuba diseludup ini berisiko membawa penyakit berjangkit seperti selesema burung yang boleh menjejaskan kesihatan awam serta industri penternakan negara.

"Tindakan mengimport sebarang haiwan hidup tanpa permit sah adalah satu kesalahan,” katanya.

Tambah beliau, tindakan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma tanpa permit, lesen atau perakuan yang sah adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta 728.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Burung bersama sangkar buluh yang digunakan dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya.