Pakcik Basri pernah tular kayuh basikal hampir dua jam hantar anak ke sekolah telah 'pergi'

Iklan
Pemergian seorang lelaki warga emas yang pernah tular di media sosial mengayuh basikal yang diubah suai untuk keselesaan anaknya ke sekolah amat dirasai ahli keluarganya.

LAHAD DATU - Pemergian seorang lelaki warga emas yang pernah tular di media sosial mengayuh basikal yang diubah suai untuk keselesaan anaknya ke sekolah amat dirasai ahli keluarganya.

Basri Kasim, 64, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada petang Jumaat lalu di kediaman mereka di Kampung Bakau, selepas pihak hospital mengesahkan hati arwah rosak manakala jantungnya lemah.

Iklan
Iklan

Menurut isterinya, Hayana Badari, 44, berkata, suaminya itu dikesan sakit sejak tiga bulan lalu dan pada Khamis lalu arwah mulai dalam keadaan kritikal.

"Sebelum ini, dia hanya mahu dibawa ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Semporna.

Iklan

"Tetapi pada Khamis lalu, keadaannya semakin tenat dan saya hubungi pihak ambulans untuk dibawa ke hospital. Sebaik tiba, dia diberi bantuan oksigen namun tidak lama kemudian pihak hospital memaklumkan keadaannya yang agak kritikal.

"Kami membuat keputusan untuk membawanya pulang dan pada Jumaat lalu, arwah sempat memaklumkan dia mahu membuang air kecil. Sekitar jam 5.50 petang dia menghembuskan nafas terakhir disisi saya dan anak-anak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Katanya lagi, anak mereka yang kesembilan yang selalu dihantar ke sekolah yang tular di media sosial amat terasa kehilangan arwah.

"Sehingga kini anak saya tidak sihat dan masih mengingat bapanya. Malah dia ada mengadu tiada sudah yang akan menghantarnya ke sekolah seperti selalu.

"Selama ini, bapanya yang menghantarnya dengan mengayuh basikal selama satu jam setengah ke sekolah. Cuma sejak dia sakit kali terakhir dapat menghantarnya sebelum cuti sekolah.

"Sepanjang sesi persekolahan pada minggu pertama, kakaknya yang menghantar ke sekolah," katanya.

Kongsinya lagi, suaminya sanggup menghantar anak mereka dengan berbasikal kerana baru dapat merasai pengalaman menghantar anak ke sekolah rendah.

"Lapan anak kami sebelum ini tidak dihantar ke sekolah dan hanya belajar di tahfiz selain diajar di rumah sahaja.

"Jadi arwah mengambil peluang ini untuk menghantar anak mereka sendiri dengan mengayuh basikal walaupun melalui perjalanan yang jauh setiap hari.

"Malah dia pernah berkata, biarlah dia berpanas, tetapi bukan anaknya sebab itu basikal tersebut diubah suai dengan dipasangkan bumbung serta kelengkapan lain demi keselesaan anaknya," katanya.

Sebelum itu, pada tahun lalu kisah warga emas dikongsikan warganet menerusi satu video 15 saat yang memaparkan kegigihan seorang bapa menghantar anaknya ke sekolah dengan mengayuh basikal.

Dalam video itu turut dipaparkan basikalnya yang unik apabila dipasangkan bumbung dan terdapat tong sampah untuk keselesaan anaknya yang memakai uniform sekolah rendah.