Waktu kerja jururawat: Perkhidmatan lebih baik atau beban tambahan?

Iklan
DJM membantah penetapan sistem kerja syif 45 jam seminggu kerana dijangka memberikan implikasi negatif yang besar terhadap profesion jururawat. Gambar hiasan

BARU-baru ini, negara kecoh dengan keputusan untuk meningkatkan waktu kerja jururawat secara syif daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Tidak dapat dinafikan juga, perkara tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pekerja kesihatan dan masyarakat.

Iklan
Iklan

Pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertahankan langkah ini dengan alasan bahawa ia telah melalui sesi libat urus bersama kesatuan sekerja sebelum dilaksanakan.

Namun, daripada perspektif tenaga kerja pula, penambahan jam dilihat sebagai suatu beban tambahan yang berpotensi menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental jururawat, yang sememangnya sudah berhadapan dengan tekanan kerja tinggi.

Iklan

Pendedahan Sinar Harian pada Ahad melaporkan, sebelum ini sebanyak 6,896 kekosongan jururawat di KKM dalam tempoh empat tahun bermula apabila negara diserang wabak Covid-19.

Menyentuh mengenai perkara itu, Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Abdul Rais Abdul Latiff berkata, negara berdepan peningkatan kos bagi melahirkan tenaga kerja dalam bidang perubatan sekiranya ramai jururawat memilih untuk bersara lebih awal.

Iklan

Jelasnya, pengambilan jururawat dan latihan melibatkan kos tinggi yang perlu ditanggung kerajaan.

Terbaharu, pakar perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini akan merosat sekiranya ramai jururawat mengambil keputusan untuk bersara awal.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Rezki Perdani Sawai pula berkata, tekanan kerja berlebihan dan keletihan emosi melampau menjadi antara punca utama jururawat terutama yang berkhidmat di hospital kerajaan mengambil keputusan bersara awal berbanding meneruskan kerjaya sehingga usia 60 tahun.

Bagi Delegasi Jururawat Malaysia (DJM) pula, mereka membantah penetapan sistem kerja syif 45 jam seminggu kerana dijangka memberikan implikasi negatif yang besar terhadap profesion jururawat serta sistem kesihatan secara keseluruhan.

DJM dalam satu kenyataan berkata, sebarang dasar baharu yang diperkenalkan tidak seharusnya membebankan jururawat yang sudah pun berada dalam tekanan kerja tinggi.

Kesimpulannya, penambahan waktu kerja jururawat kepada 45 jam seminggu menimbulkan pelbagai implikasi, baik daripada sudut keberkesanan sistem kesihatan mahupun kesejahteraan tenaga kerja perubatan.

Walaupun kerajaan berpendapat bahawa perubahan ini diperlukan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan lebih baik, kebimbangan mengenai keletihan jururawat dan potensi kesan negatif terhadap kualiti rawatan tidak boleh diabaikan.

Persoalannya, dalam jangka panjang, adakah langkah ini benar-benar akan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara, atau ia hanya akan mempercepatkan masalah penghijrahan tenaga kerja dan kemerosotan moral dalam kalangan jururawat?