Duit boleh cari, tetapi nyawa tiada ganti

Iklan
Aspek keselamatan perlu diutamakan terutamanya bagi golongan wanita yang semakin ramai terlibat dengan urus niaga dalam talian dan melakukan penghantaran barang secara COD.

MINGGU lalu, negara digemparkan dengan kes seorang wanita yang ditemui mati di tepi sungai dipercayai dibunuh selepas keluar menjalankan urus niaga secara hantaran tunai (COD) kepada pelanggan.

Kes serupa turut berlaku di negara jiran apabila seorang remaja perempuan berusia 18 tahun hilang dan gagal dihubungi keluarga selepas meminta izin daripada bapanya untuk keluar bagi urusan COD.

Iklan
Iklan

Mangsa ditemui sudah meninggal dunia dalam keadaan terapung di sungai dan hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh gadis berkenaan.

Rentetan kejadian ini, ramai pengguna media sosial tampil berkongsi pelbagai tip keselamatan bagi mengelakkan insiden serupa berulang.

Iklan

Aspek keselamatan perlu diutamakan terutamanya bagi golongan wanita yang semakin ramai terlibat dengan urus niaga dalam talian dan melakukan penghantaran barang secara COD.

Antara langkah disarankan termasuk mengelakkan pemakaian barang kemas ketika melakukan urus niaga COD serta menghantar lokasi semasa melalui aplikasi media sosial kepada ahli keluarga atau pasangan bagi tujuan pemantauan pergerakan.

Iklan

Selain itu, terdapat juga cadangan agar transaksi COD tidak dilakukan pada waktu malam, khususnya bagi wanita yang menunggang motosikal untuk mengurangkan risiko menjadi sasaran penjenayah.

Seterusnya, wanita dinasihatkan untuk COD barang di lokasi dipenuhi orang ramai serta dilengkapi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) seperti di pusat membeli belah atau stesen minyak.

Pada masa sama, mereka dinasihatkan untuk mengelakkan membawa wang tunai dalam jumlah besar dan sebaiknya menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai seperti pemindahan bank atau e-dompet bagi mengurangkan risiko rompakan.

Individu melakukan COD juga disarankan untuk membawa teman atau ahli keluarga sebagai langkah keselamatan tambahan.

Dalam pada itu, wanita yang menjalankan transaksi COD perlu sentiasa mengemas kini kedudukan lokasi terkini mereka kepada keluarga atau rakan sepanjang masa.

Perkongsian lokasi secara langsung menerusi aplikasi seperti WhatsApp atau Google Maps boleh membantu mengesan pergerakan sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

Penggunaan peralatan keselamatan seperti semburan lada dan ‘keychain’ keselamatan dilengkapi objek tajam boleh dijadikan perlindungan sekiranya berlaku ancaman.

Menariknya, barangan ini mudah didapati di platform e-dagang seperti TikTok Shop dan Shopee.

Selain itu, jika ternampak individu mencurigakan, perlu segera laporkan kepada pihak berkuasa dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Sebagai masyarakat prihatin, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk segera melaporkan kepada pihak polis, menarik perhatian dengan menjerit, atau merakam nombor plat kenderaan jika terlihat seorang individu dalam situasi berbahaya.

Kerajaan dan pihak berkuasa pula boleh memainkan peranan dengan menyediakan panduan keselamatan rasmi bagi transaksi COD, termasuk cadangan lokasi selamat serta garis panduan pencegahan jenayah.

Di samping itu, platform e-dagang juga boleh mewajibkan sistem penilaian risiko bagi penjual dan pembeli seperti pendaftaran identiti serta sistem penjejakan transaksi yang lebih selamat.

Langkah ini boleh mengurangkan insiden penipuan serta risiko jenayah ketika menjalankan urus niaga secara bersemuka.

Akhir sekali, pemantauan berkala oleh pihak polis dapat membantu meningkatkan keselamatan awam.

Secara keseluruhannya, kesedaran antara individu, masyarakat, platform e-dagang, dan pihak berkuasa amat penting dalam memastikan keselamatan peniaga serta pembeli dalam urus niaga COD.

Dengan langkah-langkah sistematik serta kesedaran yang semakin meningkat, risiko wanita menjadi mangsa jenayah boleh dikurangkan sekali gus menjamin keselamatan diri.

*Nurul Nabila Ahmad Halimy ialah Wartawan Meja Am Sinar Harian