SHAH ALAM - Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta sejarah apabila berjaya menjalankan pengujian bahan salutan geopolimer di Engin-X, ISIS Neutron and Muon Source (ISIS), United Kingdom (UK).
Program itu merupakan kali pertama menggunakan bahan berasaskan geopolimer yang diuji di fasiliti bertaraf antarabangsa tersebut, di mana sebelum ini lebih tertumpu kepada bahan logam dan aloi.
Ketua penyelidik universiti berkenaan, Profesor Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, pengujian berkenaan merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh pemahaman terhadap bahan geopolimer khususnya dalam aplikasi industri.
"Kami amat bersyukur kerana berjaya melaksanakan pengujian ini yang memberikan pemahaman lebih mendalam tentang sifat bahan geopolimer sebelum diaplikasikan dalam industri.
Mohd Mustafa mengetuai pasukan penyelidik bersama Profesor Madya Dr Rafiza Abdul Razak dengan sokongan saintis Engin-X, Dr Tung Lik Lee.
Menurutnya, Engin-X adalah garis pancaran khas di ISIS Neutron and Muon Source yang menggunakan pembelauan neutron bagi mengkaji sifat kejuruteraan bahan.
Mohd Mustafa berkata, program berprestij itu juga adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Science and Technology Facilities Council (STFC), United Kingdom di bawah program International Science Partnerships Fund (ISPF).
"Kerjasama ini membuka peluang kepada penyelidik Malaysia untuk menjalankan pengujian aras tinggi di Rutherford Appleton Laboratory, salah satu pusat penyelidikan terkemuka dunia,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, dengan kejayaan terbabit, diharapkan lebih banyak kajian dan inovasi dapat dijalankan oleh penyelidik tempatan dalam usaha membawa teknologi bahan termaju Malaysia ke persada dunia.
"Saya merakamkan penghargaan kepada KPT dan STFC atas inisiatif ini yang membuka peluang kepada penyelidik tempatan untuk meneroka teknologi bertaraf antarabangsa,” katanya.