ALOR SETAR - Kejohanan Sukan Mini GEMAPUTRA 2025 bukan sekadar satu pertandingan sukan, tetapi juga satu usaha strategik dalam menyemarakkan kempen Tahun Melawat Kedah 2025.
Exco Pelancongan Kedah, Datuk Salleh Saidin berkata, usaha yang digerakkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) wajar dipuji kerana memartabatkan warisan sukan tradisional yang semakin dilupai.
Menurutnya, usaha tersebut menjadi medan terbaik untuk memperkenalkan budaya dan identiti Kedah kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.
"Kejohanan ini bukan sekadar memperkenalkan kembali sukan tradisional seperti sepak raga, tarik upih dan gasing kepada generasi muda, tetapi juga membuka peluang kepada pelancong untuk mengenali keunikan budaya negeri Jelapang Padi ini.
"Kita sedar bahawa arus teknologi menyebabkan generasi muda semakin jauh daripada warisan nenek moyang.
"Justeru, kejohanan seperti ini diharap dapat memupuk kembali minat mereka terhadap sukan tradisional yang kaya dengan nilai sejarah dan semangat kebersamaan,” katanya pada malam Sabtu.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penutup Kejohanan Sukan Mini GEMAPUTRA 2025 di Frezel Expo & Convention Hall, di sini.
Kejohanan ini disertai oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dari seluruh negara dan hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Datuk Isahak Murat.
Pada kejohanan kali ini, PKNK muncul johan keseluruhan.
Salleh berkata lagi, kejohanan ini juga dijangka memberi impak positif kepada industri pelancongan Kedah.
Jelasnya, pelancong yang hadir bukan sahaja berpeluang menyaksikan keunikan sukan tradisional, malah mereka turut disarankan untuk meneroka destinasi menarik di negeri ini seperti Lembah Bujang, Gunung Jerai dan Sungai Merbok yang terkenal dengan keindahan alamnya.
"Kedah juga memperkenalkan pelancongan gastronomi yang penuh keunikan. Sajian tradisional juga seperti laksa Kedah, cucur udang, cendol pulut serta hidangan istimewa ubi telampung yang semakin sukar ditemui.
"Penyediaan makanan secara bergotong-royong juga menyerlahkan nilai budaya yang masih teguh dalam kalangan masyarakat setempat," ujarnya.