KUANTAN - Memilih bersara awal sebagai jururawat di hospital kerajaan pada tahun lalu merupakan satu keputusan sukar dan penuh risiko bagi Suhaida Makhtar, 49.
Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak sia-sia apabila perjalanan kerjayanya menjadi lebih baik apabila berpeluang merasai suasana bekerja di hospital luar negara dan hospital swasta selepas itu.
Menurut Suhaida, kerjaya yang diceburi sejak tahun 1999 itu memang pilihannya kerana selain minat, menjadi kebanggaan baginya dapat berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan.
Bekas penuntut Kolej Kejururawatan Klang itu berkata, selepas menamatkan pengajian, dia ditugaskan berkhidmat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan gaji kira-kira RM1,200 ketika itu.
"Masa mula-mula bertugas cukup gembira. Suasana tempat kerja baik, rakan setugas yang ramah dan rutin tugas juga tidak terlalu membebankan.
"Saya dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya hingga dipilih sebagai penerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) pada 2008,” katanya kepada Sinar Ahad.
Ibu kepada tiga anak berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, perjalanan kerjayanya di hospital kerajaan mula tergugat dan terlintas untuk bersara lebih awal.
"Banyak faktor sebenarnya. Salah satunya terdorong bila lihat rakan setugas memilih untuk bersara atas pelbagai alasan termasuk bebanan tugas dan tekanan di tempat kerja.
"Rata-rata yang bersara awal ini memilih untuk bekerja sebagai jururawat di luar negara termasuk Arab Saudi kerana tawaran gaji yang jauh lebih besar dan manfaat lain yang sangat menarik,” katanya.
Suhaida berkata, selepas 16 tahun berkhidmat, dia membuat keputusan berani bersara awal di usia 40 tahun pada 2016 dengan jawatan terakhir sebagai ketua jururawat.
Dia bernasib baik kerana permohonan bersara awal berpencen diluluskan mengambil kira tempoh perkhidmatannya.
Perjalanan baharu kerjayanya bermula selepas ditawarkan berkhidmat sebagai jururawat di sebuah hospital di Madinah, Arab Saudi dengan tawaran gaji lumayan dan faedah lain.
"Kegembiraan itu hanya bertahan setahun apabila saya terpaksa membuat keputusan berhenti dan kembali ke tanah air.
"Kerja di luar negara ini ada tekanan tersendiri dan menuntut pengorbanan termasuk berjauhan dengan keluarga terutama anak-anak yang masih kecil ketika itu,” ujarnya.
Selepas pulang ke tanah air, Suhaida meneruskan kerjaya di dua hospital swasta di Kuantan sebelum berhenti.
Namun kerana minatnya yang mendalam terhadap dunia kejururawatan, dia kembali meneruskan perkhidmatan dan kini bertugas secara sambilan sebagai jururawat di Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) HTAA di sini.