Jenazah Ishsam akan dibawa balik ke Ipoh selepas bedah siasat

Iklan
Isteri ADUN Ayer Kuning Perak, Rozlita Abdullah (kiri) bersama ahli keluarganya tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang setelah Ishsam Shahruddin meninggal dunia semasa Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya George Town petang tadi. Foto Bernama

GEORGE TOWN - Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia selepas perlawanan bola sepak di Stadium Bandaraya di sini petang tadi, akan dibawa pulang ke rumahnya di Desa Seri Ampang, Ipoh, selepas selesai urusan bedah siasat.

Setiausaha Eksekutif UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Mohd Salleh Mat Disa berkata, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengarahkan beliau datang ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini untuk membantu urusan jenazah.

Iklan
Iklan

"Saya dimaklumkan jenazah akan dimandi dan dikafankan di rumahnya di Ipoh dan pengebumian akan disempurnakan 10 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia di Ipoh," katanya kepada pemberita di Jabatan Perubatan Forensik HPP malam ini.

Beliau mengiringi Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang baru tiba dari Jepun untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ishsam termasuk isterinya, Rozlita Abdullah, 55, anak mereka, Muhammad Iszul Imadi, 32.

Iklan

Turut hadir beberapa pemimpin UMNO serta BN Pulau Pinang dan Perak antaranya Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Shaik Hussein Mydin dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Shah Headan Ayub Shah.

Jenazah ADUN Ayer Kuning Perak Ishsam Shahruddin, 59, dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini hari ini. Foto BernamaBeliau meninggal dunia semasa Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya George Town petang tadi.--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Iklan

Muhammad Izrul Imadi yang ditemui berkata mereka sekeluarga masih terkejut dengan kejadian itu memandangkan bapanya seorang yang aktif dan tidak mempunyai masalah kesihatan.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu bapanya memeriksa tekanan darah dan gula setiap hari di rumah serta sering berjoging.

"Saya berada di Ipoh dan dapat panggilan telefon memaklumkan ayah telah meninggal dunia selepas main bola sepak di sini, kami sangat terkejut dan terus datang ke hospital untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

"Ayah memang seorang yang menjaga kesihatan dan dia juga amalkan gaya hidup sihat, sebab tu kami terkejut sebab arwah pun tiada masalah kesihatan termasuk sakit jantung atau apa-apa," katanya. - Bernama