IPOH - Demi mencapai impian untuk memiliki zuriat, sepasang suami isteri sanggup mengeluarkan belanja tinggi untuk membiayai kos rawatan kesuburan.
Suri rumah, Khairul Athirah Mohd Idris, 32, berkata, walaupun dianggap masih muda, keinginan memiliki cahaya mata tinggi setelah lima tahun mendirikan rumah tangga.
"Pelbagai langkah perubatan telah dijalani termasuk Prosedur Permanian Beradas (IUI) dan sehingga kini berhabis lebih RM10,000 tetapi masih belum berhasil.
"Ikhtiar diteruskan dengan mendaftar bagi menjalani Pensenyawaan In-Vitro (IVF). Saya tidak akan berputus asa untuk mencuba sehingga berusia 35 tahun bagi mengelakkan risiko lain," katanya yang juga menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS).
Dia ditemui pemberita pada majlis perasmian Pusat Pakar Rawatan Kesuburan Metro IVF Ipoh dan pelancaran program Kumpulan Sokongan Impian Dua Garis Perak Darul Ridzuan di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Perak telah meringankan usaha dirinya dan pasangan lain yang masih berjuang untuk memiliki zuriat.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed berkata, kerajaan negeri memperkenalkan subsidi khas berjumlah RM600,000 untuk 150 pasangan menjalani rawatan IVF melalui program Permata Perak.
"Kita semua sedia maklum bahawa kos rawatan kesuburan bukanlah sesuatu yang murah. Kos IVF di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dianggarkan antara RM8,000 hingga RM12,000, jauh lebih rendah berbanding pusat rawatan kesuburan swasta yang boleh mencecah RM18,000 bagi satu kitaran.
"Dengan subsidi sebanyak RM4,000 setiap pasangan, kita berharap inisiatif ini memberi peluang lebih luas kepada mereka yang ingin menimang cahaya mata," katanya.
Tambah Saarani, penurunan kadar kesuburan yang berterusan memberi implikasi besar terhadap keseimbangan tenaga kerja, daya saing ekonomi dan kestabilan sistem sokongan sosial dalam jangka panjang.
"Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa kadar kelahiran hidup di Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 12.3 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
"Antara faktor yang menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan ini termasuklah peningkatan kos sara hidup, kelewatan dalam perkahwinan serta perubahan keutamaan golongan muda khususnya wanita moden yang semakin mengutamakan pendidikan, kestabilan kewangan dan perkembangan kerjaya sebelum membuat keputusan untuk berkeluarga," katanya.
Jelas beliau, jika trend itu berterusan tanpa sebarang langkah intervensi yang berkesan, Malaysia bakal berdepan dengan penyusutan populasi serta peningkatan kadar penuaan yang ketara.
Pakar Obstetriks, Ginekologi dan Kesuburan Metro IVF Ipoh, Profesor Dr V Jaya Balan memaklumkan kira-kira 1 dalam 6 pasangan menghadapi masalah kesuburan.
Tambahnya, masih ramai tidak mendapatkan rawatan kerana kurangnya kesedaran, stigma masyarakat atau ketidakpastian mengenai pilihan rawatan yang ada.
"Saya ingin menekankan bahawa masalah kesuburan bukan hanya tanggungjawab isteri sahaja. Kesihatan suami juga memainkan peranan yang sama penting dengan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika diperlukan.
"Dengan perkembangan teknologi dalam bidang rawatan kesuburan, peluang untuk mendapatkan zuriat kini lebih cerah berbanding dahulu," katanya.