Lelaki OKU maut jatuh rel: Rapid Rail bekerjasama dengan pihak berkuasa

Iklan
Seorang lelaki OKU buta maut selepas terjatuh dan dilanggar kereta api di Stesen LRT Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto: Bomba Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kematian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang terjatuh dan dilanggar kereta api di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa di sini pada Sabtu.

Rapid Rail dalam kenyataan berkata, sebagai langkah keselamatan, pihak operasi telah menyahaktifkan bekalan kuasa di stesen tersebut bagi memberi laluan pada pihak polis, bomba dan pasukan ambulans di lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, Rapid Rail memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat daripada kejadian dan kelewatan perjalanan yang berlaku pada pagi ini.

"Pihak Rapid Rail akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kejadian tersebut dan akan memastikan perkhidmatan laluan Ampang/Sri Petaling kembali seperti biasa secepat mungkin.

Iklan

"Buat sementara waktu, tiada perkhidmatan tren di stesen PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur.

"Perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas perantara percuma telah diaktifkan bagi menyokong operasi," katanya pada Sabtu.

Iklan

Tambah kenyataan itu lagi, pengguna yang memerlukan bantuan boleh merujuk kepada Pegawai Stesen dan Polis Bantuan di stesen-stesen berkenaan.

"Sebarang perkembangan terkini akan dikemaskini menerusi laman media sosial Rapid KL dan pengumuman di stesen," ujarnya.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki tempatan OKU buta disahkan meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi.