PADA 17 Februari lalu, seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia setelah seminggu demam akibat dijangkiti kusta, manakala lapan lagi sedang menerima rawatan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Jabatan Kesihatan negeri mengesan penularan jangkitan itu pada 2 Januari lepas, melibatkan sembilan penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Chergun dan Guntur, Kuala Pilah.
Berikutan peristiwa itu, ramai yang panik dan bimbang akan kemungkinan penularan lebih meluas, biarpun saringan secara agresif telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap semua penduduk di kedua-dua kampung berkenaan.
KKM turut menasihati agar masyarakat tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi atau sumber tidak tepat berhubung wabak tersebut.
Ramai keliru dan menganggap kusta sebagai penyakit keturunan sedangkan ia berpunca daripada bakteria yang membiak dengan perlahan dan gejalanya hanya muncul selepas dua hingga lima tahun.
Kusta merebak melalui udara apabila pesakit bersin atau batuk tetapi kadar jangkitannya rendah dan ia tidak berjangkit melalui sentuhan langsung dengan luka, berbeza dengan tanggapan sesetengah orang.
Antara tanda dan gejala penyakit kusta termasuk ruam kulit tidak gatal, kelemahan otot, serta kerosakan saraf yang menyebabkan kehilangan refleks automatik untuk mengelak daripada objek panas atau tajam.
Keadaan tersebut boleh menyebabkan luka pada kulit yang mudah dijangkiti kuman dan pesakit mungkin kehilangan jari tangan atau kaki akibat jangkitan.
Sekiranya tidak dirawat, kusta juga boleh menyebabkan kelumpuhan saraf muka yang membawa kepada kehilangan refleks berkelip, kekeringan serta ulser pada mata sehingga mengakibatkan kebutaan.
Orang ramai bagaimanapun tidak perlu panik kerana lebih 95 peratus individu secara semula jadi mempunyai imuniti terhadap bakteria ‘Mycobacterium leprae’ yang menyebabkan penyakit kusta.
Penyakit kusta boleh dirawat dengan terapi pelbagai ubat (MDT) yang menggabungkan antibiotik untuk tempoh enam hingga 12 bulan, manakala ubat seperti ofloxacin atau minocycline digunakan sekiranya pesakit mengalami kekebalan terhadap ubat.
Sebahagian pesakit mungkin mengalami reaksi ‘Lepra’ iaitu tindak balas imunologi terhadap bakteria ‘Mycobacterium leprae’ namun ia boleh dikawal dengan ubat anti radang bagi mengurangkan kesan terhadap tubuh pesakit.
Penyakit kusta boleh sembuh dengan rawatan yang konsisten dan pesakit tidak boleh menjangkiti orang lain sebaik sahaja mereka menerima rawatan.
Justeru, pesakit kusta tidak perlu diasingkan daripada keluarga atau masyarakat, sebaliknya mereka hanya mematuhi nasihat doktor serta mengambil rawatan mengikut jadual ditetapkan.
Masyarakat juga dinasihatkan untuk kekal bertenang dan tidak terpengaruh dengan spekulasi kerana penyakit kusta di Malaysia masih terkawal.