SHAH ALAM - Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) menggantung sementara pemeriksaan tanpa janji temu atau ‘walk in’ bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, langkah itu turut melibatkan pemilik kenderaan yang perlu menjalani pemeriksaan semula selepas gagal dalam percubaan pertama.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan pemeriksaan dapat dijalankan dengan teliti dan adil.
"Langkah ini juga memastikan pemeriksa kenderaan (VE) mendapat rehat yang mencukupi sebelum kembali bertugas pada keesokan hari. Namun, beberapa cawangan utama masih beroperasi hingga lebih daripada jam 10 malam.
"Kami memahami cabaran yang dihadapi terutama di Lembah Klang yang mana mendapatkan slot janji temu semakin sukar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mahmood menggesa pemilik kenderaan untuk memanfaatkan kebenaran yang diberikan JPJ untuk memperbaharui permit sehingga 14 hari sebelum tarikh luput tanpa menjejaskan tempoh sah sedia ada.
"Jika permit tamat pada 31 Mac, pembaharuan boleh dilakukan mulai 18 Mac.
"Sekiranya gagal pada 18 Mac, mereka masih mempunyai 13 hari untuk pemeriksaan semula. Jika pembaharuan dilakukan pada hari terakhir tempoh sah permit dan kenderaan gagal pemeriksaan, ini boleh menimbulkan masalah," jelasnya.
Tambahnya, Puspakom juga sedang meneliti semula waktu operasi dan kapasiti bagi menampung lebih ramai pemilik kenderaan.
"Ia bagaimanapun bergantung kepada ketersediaan tenaga kerja VE. Pelanggan juga boleh menggunakan perkhidmatan pemeriksaan bergerak Puspakom dengan bayaran tambahan.
"Sebagai syarikat pemeriksaan kenderaan pertama di Malaysia, Puspakom menghargai pemahaman serta kerjasama orang ramai dalam usaha menambah baik perkhidmatan demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” kata Mahmood.