Kuota haji diisi sepenuhnya, kadar penangguhan lebih rendah - TH

Iklan
TH akan terus menumpukan usaha bagi memastikan kelancaran operasi haji musim 1447H.

SHAH ALAM - Proses tawaran haji musim 1447H/2026M berjalan lebih lancar dengan kuota haji yang diperuntukkan sudah diisi sepenuhnya hasil inisiatif penambahbaikan dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, secara keseluruhan sekitar 85,000 permohonan rayuan haji diterima berbanding kuota tahunan sebanyak 31,600.

Iklan
Iklan

"TH telah menerima sekitar 85,000 permohonan rayuan haji bagi musim 1447H berbanding kuota tahunan sebanyak 31,600. Alhamdulillah, untuk tahun ini, dengan inisiatif penambahbaikan TH terutamanya peringatan agar bakal jemaah membuat persediaan, kuota haji rasmi negara telah dapat dipenuhi lebih awal.

"Hasil usaha ini adalah kadar penangguhan yang jauh lebih rendah iaitu 18 peratus bagi musim 1447H berbanding 50 peratus pada tahun 1446H.

Iklan

"Berdasarkan jumlah rayuan yang tinggi, maka permohonan rayuan musim ini akan ditutup mulai 1 Ramadan 1447H," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mustakim berkata, permohonan rayuan yang telah diterima sebelum tarikh tersebut kekal dalam pertimbangan pihaknya.

Iklan

Ujarnya, sekiranya berlaku kekosongan saat akhir akibat penangguhan atau pembatalan, pengisian akan dibuat daripada senarai rayuan sedia ada berdasarkan merit dan kriteria yang ditetapkan.

“TH ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan oleh semua bakal jemaah dan semoga semua usaha bakal jemaah ini mendapat ganjaran sebaiknya di sisi ALLAH SWT,” katanya.

Dalam pada itu, Mustakim turut menjelaskan, TH akan terus menumpukan usaha bagi memastikan kelancaran operasi haji musim 1447H.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula pada 18 April ini, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei dengan hari Wukuf pula dijangka pada 26 Mei depan.