KUALA PILAH - Tiada penjualan gula-gula kenyal di kawasan sekolah atau kedai serbaneka namun masih mudah didapati secara terbuka melalui platform dalam talian terutama di TikTok.
Seorang wanita, Rabiatul Adawiyah Anuar, 27, meluahkan rasa terkilan apabila terdapat peniaga dalam talian tidak peka dengan situasi semasa apabila terus mempromosi jualan itu secara terbuka.
"Lepas tular kes kanak-kanak maut tercekik gula-gula kenyal ini, saya tengok banyak kedai sudah tidak jual makanan ini, di sekolah memang tak ada jual.
"Tapi semalam, saya lihat ada seorang peniaga buat live jual gula-gula ini, ramai yang tonton kecam tindakan peniaga ini, tapi dia tetap terus meniaga seperti biasa," katanya ditemui sewaktu tinjauan Sinar Harian pada Jumaat.
Ibu kepada dua anak itu berkata, sebelum ini dia tidak begitu menggalakkan anak-anaknya makan makanan ringan itu kerana status halalnya yang meragukan.
Bagaimanapun katanya, selepas berlaku insiden kematian seorang murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang dipercayai tercekik gula-gula kenyal jenis ‘Gummy’ pada 18 Februari lalu, dia tidak lagi membenarkan anak-anaknya untuk makan gula-gula berkenaan.
"Saya minta peniaga sama-sama bertanggungjawab tidak menjual makanan ini sebab gula-gula ini berbahaya kepada kanak-kanak, sudah ada kes sampai meninggal dunia.
"Pada masa sama, ibu bapa pun perlu pantau anak-anak terutama yang ada anak kecil sebab mereka tak tahu apa-apa, kadang kala walaupun kita tak larang, dia tetap makan juga," katanya.
Seorang lagi ibu kepada tiga anak, Dahliana Lahi, 40, berkata, kejadian tercekik gula-gula kenyal itu menyebabkan dia sebagai ibu risau kejadian sama menimpa anaknya yang turut gemar makan makanan ringan itu.
"Masa mula-mula tular dulu ingat hanya gula-gula biasa, tapi bila ada kes macam ini, terus tak berani bagi anak-anak makan.
"Dalam sekolah tak ada jual, tapi ada perasan beberapa kedai jual, sebelum ini gula-gula ini di jual berleluasa tapi selepas kes ini, saya tak perasan ada kedai yang jual," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi kedai serbaneka sekitar Kuala Pilah tidak menemukan penjualan makanan ringan itu.
Selain itu, tinjauan di beberapa sekolah mendapati, tiada aktiviti penjajaan makanan ringan beroperasi di luar sekolah.