SHAH ALAM – Seorang tukang cuci wanita dari Jawa Tengah, Indonesia dipenjara tiga bulan selepas gagal membayar denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, kerana memiliki dokumen pengenalan sementara milik individu lain.
Siti Fatuyah, 60, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dokumen pengenalan sementara bertaraf warganegara atas nama Hamidah Kamarudin, di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara di sini pada jam 1.30 petang, 20 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh mengaku telah menggunakan nombor kad pengenalan milik mangsa dalam sebarang urusan rasmi meskipun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri di Malaysia.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Selangor, Mohd Saudi Yusof sementara tertuduh tidak diwakili peguam.