IPOH - Kerajaan negeri Perak mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk memantau aktiviti jualan di sekitar kawasan sekolah susulan insiden murid maut tercekik gula-gula kenyal sebelum ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, pemantauan dan penguatkuasaan memang sentiasa dilaksanakan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan termasuk barang-barang yang dijual.
"Kita menyambut baik saranan daripada Kementerian Pendidikan supaya ada kerjasama lebih rapat lagi di antara PBT dan Jabatan Pendidikan untuk kita terus buat pemantauan.
"Susulan daripada insiden ini kita akan ambil perhatian khususnya dalam kes ini dalam kawasan sekitar sekolah untuk memastikan kalau ada aktiviti tidak sesuai seperti isu keselamatan seperti lalu lintas, jual barang-barang tak sesuai di kawasan sekolah kita akan ambil tindakan ikut peraturan yang ada," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke premis hotel yang telah melaksanakan Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Sandrea berkata, pihak PBT memang sentiasa membuat pemantauan serta penguatkuasaan secara berkala memandangkan ada pihak tidak mematuhi peraturan dengan menjalankan perniagaan di tempat tidak sepatunya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dalam satu kenyataan pada Jumaat mengarahkan JPN bekerjasama dengan PBT dalam memantau penguatkuasaan terhadap penjaja dan peniaga di luar premis sekolah.
Beliau menegaskan walaupun penjaja dan peniaga di luar premis sekolah adalah di luar bidang kuasa kementerian berkenaan tetapi keselamatan murid perlu diberi perhatian.
Ia selaras dengan Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman di Luar Pagar Sekolah Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Edisi Kedua 2021).
Media sebelum ini melaporkan seorang murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, meninggal dunia dipercayai tercekik gula-gula kenyal jenis ‘Gummy’ pada 18 Februari lalu.
Pada malam Khamis, Mohamad Fahmi Hafiz yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang menghembuskan nafas terakhirnya pada jam kira-kira 11 malam.