KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) memerlukan sekurang-kurangnya RM100 juta setiap tahun untuk penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur di seluruh institusi pendidikan di bawah agensi tersebut.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukkan yang diterima daripada kerajaan sebanyak RM50 juta untuk penyelenggaraan tidak mencukupi.
"Kita ada 344 institusi pendidikan di seluruh negara yang perlu diberi perhatian. Itu tidak termasuk premis -premis Mara.
"Sebenarnya RM100 juta pun tak cukup, tapi ini hanya untuk penyelenggaraan perkara-perkara yang melibatkan fasiliti asas seperti tandas, asrama dan sebagainya.
"Apatah lagi banyak bangunannya sudah lama.Ada 30, 20 dan 10 tahun," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Makan Tengah Hari bersama Media dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sempena Peluncuran Wakaf Mara Madani dan Sambutan Ulang Tahun MARA Ke-59 di sini pada Khamis.
Tambah Asyraf Wajdi, beliau menekankan keselesaan warga institusi pendidikan di Mara.
"Saya selalu fokus kepada soal yang melibatkan kebajikan pelajar, guru-guru dan kakitangan.
"Lepas itu yang paling penting,jangan fokus kepada kosmetik, nak menceriakan kawasan tetapi tandasnya rosak, asrama teruk dan katil tidak boleh diguna pakai,"ujarnya.
Jelas beliau, bagi memenuhi keperluan Mara pihaknya berharap alumni Mara dapat memberi sumbangan sama ada dari segi kewangan mahupun tenaga menerusi Wakaf Mara Madani yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mac depan.
"Kalau kita tengok alumni MRSM sahaja lebih daripada 220,000 orang. Alumni yang mendapat tajaan dan juga manfaat daripada penajaan-penajaan biasiswa Mara tidak kurang daripada 150,000 orang.
"Kebanyakan daripada alumni-alumni ini sudah pun menjadi orang-orang yang berjaya. Jadi hasratnya adalah supaya mereka juga boleh memberikan sumbangan.
Beliau turut memberitahu, pihaknya telah mendapat keizinan dan kelulusan daripada Kementerian Kewangan mengenai pelepasan cukai untuk alumni membuat demikian.
"Menerusi pelepasan itu,kita sudah boleh bergerak untuk dapatkan sumbangan dan kami komited agar capai sasaran kumpul RM 1 billion pada tahun hadapan," jelasnya.