KUALA TERENGGANU - Seorang pesara wanita kerugian sebanyak RM108,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi telefon atau 'phone scam' daripada individu yang menyamar sebagai ejen insurans pada 10 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor memaklumkan, melalui panggilan tersebut, wanita berusia 61 tahun itu dimaklumkan bahawa namanya telah disalah guna oleh individu yang tidak bertanggungjawab bagi tujuan tuntutan insurans perubatan sebanyak RM63,000.
"Kemudian mangsa disambungkan kepada 'pihak polis' dan diarah membuka akaun Bank Rakyat.
"Mangsa telah memindahkan wang dalam akaun Tabung Haji ke dalam akaun bank tersebut berjumlah RM45,000. Mangsa juga telah memberikan maklumat bank kepada suspek dan membuat pinjaman dengan Affin Bank berjumlah RM50,000. Wang tersebut turut dimasukkan ke dalam akaun Bank Rakyat itu.
"Mangsa juga telah pindahkan wang berjumlah RM13,000 ke dalam dua akaun yang berlainan dengan tiga kali transaksi menjadikan jumlah keseluruhan kerugian berjumlah RM108,000," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Azli berkata, sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan dan pinjaman peribadi.
Azli memaklumkan, mangsa mula sedar dirinya telah ditipu dan terus membuat laporan polis pada Rabu lalu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.