Lori tangki dicuri, suspek berjaya diberkas dalam tempoh sejam

Iklan
Lori tangki yang dilarikan seorang lelaki berjaya ditemui semula di Sungai Rambai, Jasin, Melaka pada Selasa.

BATU PAHAT - Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang melarikan sebuah lori tangki dalam kejadian di Yong Peng di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian disedari berlaku sekitar jam 9.45 pagi apabila pemilik lori, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun mendapati kenderaan itu hilang selepas diparkir di tepi Jalan Labis-Yong Peng.

Iklan
Iklan

Menurutnya, laporan polis diterima pada jam 10.34 pagi di Balai Polis Yong Peng sebelum maklumat kejadian terbabit segera disebarkan kepada pasukan keselamatan melalui Pusat Kawalan Daerah (DCC) Batu Pahat dan Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Johor.

"Hasil tindakan pantas, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Tangkak berjaya mengesan lori yang dilarikan itu di kawasan Sungai Rambai, Jasin, Melaka pada jam 10.50 pagi.

Iklan

"Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang sedang memandu kenderaan berkenaan berjaya ditahan di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Suspek kini direman selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Februari bagi membantu siasatan.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak meninggalkan kenderaan tanpa pengawasan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu.

"Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terjamin," katanya lagi.