Jual sambal budu durian resipi ibu

Iklan
Ibnu Sina menunjukkan adunan bahan dalam 'Sambal Budu Durian' yang menjadi kegemaran pelanggan ketika ditemui di kediamannya dekat Kampung Bunut Payong. Foto Bernama

KOTA BHARU - Budu memang sinonim dengan negeri Kelantan namun tidak ramai yang mengenali sambal budu durian.

Lebih istimewa, seorang lelaki dari Kampung Bunut Payong di sini menggunakan resipi air tangan ibunya hampir empat dekad lalu untuk dikongsi bersama penggemar budu.

Iklan
Iklan

Ibnu Sina Osman, 40, yang dibantu isteri, Che Norhafiza Che Razali, 36, menyambung usaha ibunya dengan membuat sambal budu durian itu.

"Ibu mula membuat sambal budu durian sejak tahun 1986, ramai saudara-mara membawa buah itu, meminta ibu menyediakan untuk mereka.

Iklan

"Walaupun disebut sambal budu namun makanan itu bukan sejenis sambal tetapi budu dicampur durian dalam proses pembuatannya.

Ibnu Sina memasukkan durian ke dalam budu yang sudah diproses.

Iklan

"Budu diproses terlebih dahulu sebelum dimasukkan isi durian segar, limau nipis, cili burung dan isi ikan yang dibakar bakar tawar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini.

Bercerita lanjut, titik permulaan dia menceburi bidang perniagaan itu selepas ibunya, Che Hawa@Asma Ali, 74, diserang angin ahmar pada tahun 2018 dan terpaksa berhenti membuat sambal budu durian.

"Bila ibu sakit, ramai bertanyakan budu durian itu.

"Jadi, saya mengambil keputusan untuk cuba buat sendiri budu durian dibantu ibu yang menjadi 'tukang rasa' selepas keadaannya sudah beransur baik," katanya.

Ibnu Sina mengakui tidak mudah menghasilkan budu itu kerana percubaan demi percubaan gagal dan rakan-rakan ibunya sendiri ikhlas memberitahu rasanya tidak sama seperti air tangan ibunya.

"Namun akhirnya selepas lapan kali hasilkan budu durian, ibu memuji keenakannya," katanya proses menghasilkan makanan itu adalah secara tradisional.

Ibnu Sina menunjukkan cara penghasilan 'Sambal Budu Durian' yang menjadi kegemaran pelanggan ketika ditemui di kediamannya dekat Kampung Bunut Payong. Foto Bernama

Kata bapa dua anak itu, cabaran paling utama adalah terpaksa mencari durian jika bukan pada musimnya selain berdepan harga tinggi raja buah itu.

"Pernah terputus bekalan durian dan terpaksa hasilkan budu durian tiga kali seminggu.

"Tetapi kini dibantu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang bersedia membekalkan durian segar," jelasnya menggunakansatu kilogram durian untuk 50 botol.

Ketika ditanya mengenai pasaran, Ibnu Sina berkata, budu itu hanya dikenali dalam kalangan rakan-rakan sekerja dan penduduk kampung kerana tidak mahir menggunakan media sosial untuk memperkenalkan air tangannya itu.

Bagaimanapun katanya, orang ramai dan rakan-rakan telah membantu memperkenalkan budu itu kepada penduduk di luar Kelantan.

"Saya berjaya menjual 300 hingga 400 botol sambal budu durian sepanjang Ramadan setiap tahun," katanya.