AUCKLAND - Kumpulan masyarakat Krtistian dari gereja Destiny mengadakan protes terhadap perarakan kumpulan LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoal identiti seksual diri), berlangsung di Ponsonby Road, pada Sabtu lalu.
Kumpulan tersebut dikenali sebagai 'Man Up' turut mengenakan kemeja-T dengan tulisan 'Man Up' melakukan tarian haka di hadapan pegawai polis sedang mengawal keadaan.
Ketua kumpulan tersebut, Brian Tamaki berkata, pihak mereka cuba menghalang perarakan itu kerana 'sudah muak' dengan agenda yang dibawa oleh kumpulan songsang berkenaan.
Beliau turut mengkritik perarakan itu yang disifatkannya sebagai 'sesat' dan perlu dihalang.
"Perarakan ini sudah berlangsung terlalu lama, kita perlu hentikannya, kerana Auckland sendiri telah dikuasai oleh 'agenda pelangi'," katanya lapor DailyMail.
Sementara itu, penganjur perarakan itu menyifatkan insiden itu sebagai sangat menyakitkan, bagaimanapun menegaskan bahawa mereka tetap berdaya tahan dalam menghadapi kebencian dan keganasan.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Auckland, Wayne Brown, menyifatkan tindakan kumpulan tersebut sebagai 'tidak boleh diterima sama sekali' kerana ia tidak mencerminkan nilai-nilai masyarakat Auckland yang pelbagai dan inklusif.
Pihak berkuasa tempatan kini sedang menilai semula langkah-langkah keselamatan untuk acara berkenaan pada masa akan datang bagi memastikan keselamatan dan keselesaan semua peserta. - Agensi