KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang melalui Tourism Pahang memperuntukkan RM300,000 untuk bantuan perlindungan insurans berkelompok kepada penggiat dan pengusaha pelancongan di negeri ini.
Tourism Pahang berkata, inisiatif perlindungan insurans berkelompok itu adalah yang kedua disediakan kerajaan negeri untuk pengusaha homestay, malim gunung, pemandu pelancong alam semula jadi dan pemandu bot pelancong yang aktif di negeri ini.
Menurutnya, seramai 370 penerima layak menerima skim perlindungan selama lima tahun melibatkan caruman insurans individu bernilai RM122.26 setahun.
"Antara manfaatnya, perlindungan insurans RM100,000 bagi kematian dan hilang upaya kekal akibat kemalangan
"Jumlah perlindungan akan dibayar sekiranya berlaku sebarang kemalangan sama ada semasa sedang bekerja dalam aktiviti pelancongan atau sebaliknya," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail diiringi Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man telah menyempurnakan penyerahan inisiatif itu di sini pada Rabu.
Menurut agensi itu lagi, inisiatif tersebut turut memberi perlindungan tambahan iaitu pampasan RM10,000 untuk kos pencarian dan pemindahan yang perlu dan munasabah sekiranya cedera akibat kemalangan, sakit, keadaan cuaca atau faktor keselamatan semasa aktiviti pelancongan.
"Pampasan itu bagaimanapun hanya dibayar untuk mereka yang terlibat di bahagian operasi dan menyelamat.
"Selain itu, pemegang polisi itu turut menerima manfaat bayaran kos perubatan sehingga RM2,500 sekiranya berlaku kecederaan akibat kemalangan," ujarnya.
Tourism Pahang berkata, penerima perlindungan insurans kelompok itu juga layak menerima elaun tunai sehingga RM50 sehari semasa dirawat di hospital akibat kemalangan, maksimum 30 hari.
"Sekiranya penerima saksi atau mangsa peristiwa traumatik, pampasan kaunseling trauma turut diberikan iaitu RM100 setiap sesi, maksimum 10 sesi.
"Manfaat lain, perbelanjaan penghantaran pulang jenazah RM5,000 dari tempat kematian ke negara asal akibat sebarang kemalangan," katanya.