KOTA BHARU - Penganjuran acara tahunan Madinah Ramadan di Kelantan dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung bermula 1 Ramadan ini.
Program berkenaan yang memasuki edisi ke-33 sejak diperkenalkan, akan berlangsung selama sebulan di Dataran Warisan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, penganjuran kali ini membawa tema 'Dua Dekad Kota Bharu Bandaraya Islam' dan menampilkan pelbagai pengisian bermakna termasuk program keagamaan, kerohanian serta pameran sejarah.
"Tahun ini, kita menampilkan konsep muzium yang akan memberi pendedahan garis masa kepada pengunjung tentang perjalanan sejarah bandar ini sejak dahulu hingga sekarang.
"Pameran juga menjadi sebahagian daripada usaha menyemarakkan warisan Islam di Kota Bharu,” katanya ketika mengadakan lawatan ke persiapan tapak Madinah Ramadan di sini pada Rabu.
Menurut Hilmi, Madinah Ramadan yang dahulunya dikenali sebagai Qariah Ramadan berkembang daripada sekadar satu khemah kecil kepada acara mega yang menjadi tumpuan penduduk setempat dan pelancong luar.
Beliau berkata, beberapa acara utama dirancang bagi memeriahkan Madinah Ramadan tahun ini, antaranya sambutan Hari Kemenangan Palestin pada 4 Mac yang dianjurkan dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia.
"Kita akan menampilkan imam tarawih dari Palestin iaitu Sheikh Naeem Mushtaha, anak tiri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
"Selain itu, satu ceramah khas Palestin juga akan diadakan,” katanya.
Kata Hilmi, majlis hi-tea bersama penyumbang akan berlangsung pada 26 Februari, manakala pelancaran Tabung Ihya Ramadan akan diadakan pada 28 Februari di Dataran Ilmu oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud selain perasmian dijadualkan pada 6 Mac oleh Menteri Besar.
Hilmi turut memaklumkan bahawa kos penganjuran meningkat kepada RM1.8 juta berbanding RM1.3 juta tahun lalu, susulan usaha menambah baik kemudahan bagi keselesaan pengunjung.
"Keluasan tapak tahun ini adalah 1,650 meter persegi, mampu menampung 1,500 jemaah solat tarawih pada satu masa, sementara ruang berbuka puasa boleh memuatkan 1,000 orang di halaman luar,” katanya.
Selain itu, Madinah Ramadan juga akan memperkenalkan dua imam tarawih dari Mesir iaitu Syeikh Mohammed Sobhy Gomaa Elsheikh dan Syeikh Ayman Adel Mostafa Abdelhafeez Mohamed.
Dari segi persiapan, Hilmi berkata, kemajuan kerja kini mencapai 70 peratus dengan hanya beberapa kerja akhir seperti pemasangan pencahayaan dan kemasan dalaman masih berjalan.
"Insya-Allah, semua persiapan akan siap sepenuhnya dua atau tiga hari sebelum Ramadan,” katanya.
Madinah Ramadan yang beroperasi dari Subuh setiap hari turut menampilkan sesi bacaan al-Quran 30 juzuk dengan penyertaan qari terkenal dari seluruh Kelantan.