GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang murid Tahun Empat dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian pada petang Selasa.
Mangsa berusia 10 tahun, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.
Ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan meminta izin daripada gurunya untuk ke tandas selepas dia dikatakan tersedak.
Bagaimanapun, ketika berjalan ke tandas, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.
"Melihat keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri, gurunya terus memberikan bantuan awal termasuk bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepadanya, namun tiada tindak balas.
"Selepas menghubungi ambulans, guru terbabit ada buat panggilan video dengan pasukan perubatan yang meminta beliau memeriksa mulut mangsa sebelum menemukan gula-gula terbabit dalam tekak kanak-kanak itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Siti Farhani berkata, mangsa pada mulanya dirawat di Hospital Seberang Jaya, namun melihat keadaannya semakin kritikal dia dipindahkan ke HPP untuk rawatan selanjutnya.
Katanya, ketika menerima pakaian manga daripada pihak hospital mendapati terdapat sebiji lagi gula-gula itu dalam poket baju sekolahnya.
"Setakat ini saya masih belum dapat menziarahi mangsa di hospital tapi dimaklumkan oleh abang, anaknya itu masih belum sedarkan diri.
"Mohon semua untuk doakan kesembuhannya dan harap ada keajaiban untuknya," ujarnya lagi.
Terdahulu, tular hantaran Siti Farhani di Facebook yang memohon doa orang ramai mengenai perkembangan anak saudaranya itu.
Siti Farhani memaklumkan anak saudaranya dalam keadaan kritikal dan belum sedarkan diri selepas dipercayai tercekik gula-gula ketika di sekolah.
Gula-gula berkenaan dikatakan dibeli di gerai di luar kawasan sekolah.