Mara cadang hantar pelajar perubatan ke Mesir atas faktor kos lebih murah

Iklan
Asyraf Wajdi bergambar bersama guru, ibu bapa dan pelajar semasa melawat MRSM Sungai Besar pada Rabu.

SABAK BERNAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) kini sedang mempertimbangkan untuk menghantar pelajar perubatan ke Universiti Al-Azhar, Mesir sebagai alternatif bagi mengurangkan kos pengajian yang semakin tinggi di dalam negara.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kos pengajian perubatan di dalam negara kini jauh lebih tinggi berbanding di luar negara, khususnya di Universiti Al-Azhar.

Iklan
Iklan

"Jika kita menghantar seorang pelajar ke universiti awam dalam negara, ia setara dengan menghantar tiga atau empat orang pelajar ke universiti luar negara dari segi kos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar dan meraikan Hari Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1 pada Rabu.

Iklan

Menurut Asyraf Wajdi, Universiti Al-Azhar juga telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) serta badan berwajib lain, menjadikannya pilihan yang baik bagi pelajar tajaan Mara.

Katanya, sebelum ini, kerajaan pernah menawarkan tajaan untuk pelajar melanjutkan pengajian ke universiti di Timur Tengah, namun langkah tersebut dihentikan pada tahun 2016 berikutan peristiwa Arab Spring.

Iklan

Namun, beliau melihat terdapat peluang untuk memulakan semula penghantaran pelajar ke Universiti Al-Azhar berikutan peningkatan kos pengajian di dalam negara.

"Ketika ini, lebih kurang 6,000 pelajar tajaan Mara sedang menuntut di universiti dalam negara dengan kos yang lebih tinggi," tambahnya.

Asyraf Wajdi juga berkata, pihak Universiti Al-Azhar telah menunjukkan sikap positif dan bersedia memberikan diskaun kepada pelajar tajaan Mara.

"Sekiranya mereka memberikan diskaun, ini akan menjadi alasan kukuh bagi kita untuk menghantar pelajar-pelajar perubatan ke sana," jelasnya.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa perkara ini perlu dibawa ke Kabinet untuk kelulusan sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.

Beliau turut mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung cadangan tersebut.

"Jika keputusan ini diluluskan, ia akan memberi peluang kepada lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian di universiti terbabit," katanya.

Selain itu, Asyraf Wajdi juga berkata, pelajar MRSM Ulul Albab yang mempunyai latar belakang dalam bidang sains dan huffaz 30 juzuk al-Quran akan mendapat manfaat besar daripada penghantaran ke Universiti Al-Azhar.

"Ini kerana mereka hanya perlu menghafal lima juzuk al-Quran di universiti tersebut berbanding pengajian di MRSM Ulul Albab yang menekankan penghafalan 30 juzuk al-Quran,” jelasnya.