KUALA LUMPUR – Flat 14 tingkat usang didiami pendatang asing tanpa izin (PATI) di Chow Kit, di sini, digempur dalam satu operasi khas pada Rabu.
Serbuan hasil risikan selama dua minggu itu dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula jam 1 pagi.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, bangunan berusia lebih 30 tahun berada dalam keadaan uzur berikutan lif yang sudah lama tidak berfungsi, sambungan wayar tidak terurus, pagar kaki lima reput serta keadaan yang kotor.
Difahamkan, kadar sewa di flat tiga bilik disewakan dengan harga RM800 sehingga RM2,200 sebulan.
Ketika serbuan, pelbagai cubaan meloloskan diri dilakukan antaranya bersembunyi di celah katil, bawah tilam, dalam tandas dan dalam tangki air di atas bumbung premis.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Haris, 40-an, berkata sudah menetap di tingkat sembilan flat terbabit sejak beberapa tahun lalu.
"Dah biasa hari-hari turun naik tangga, lif dah lama rosak tapi tak baiki, nak buat macam mana sewa di sini agak murah tak sampai RM1,000.
"Macam saya sudah duduk lama murah sikit dalam RM800 tetapi kalau penyewa orang asing lagi mahal lah. Sekarang kalau rumah makin tinggi sewa makin murah sebab lif rosak,” katanya.
Perkara itu turut diakui beberapa penduduk tempatan yang terpaksa menetap di kawasan itu untuk menjimatkan perbelanjaan.
Sementara itu, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, tindakan penguatkuasaan diambil susulan laporan awam berhubung kebanjiran PATI di kawasan itu.
Menurutnya, keseluruhannya seramai 250 individu diperiksa manakala 124 warga asing disyaki PATI ditahan terdiri daripada 84 warga Indonesia, Bangladesh (17), Myanmar (2), Nepal (4), Pakistan (14) dan tiga warga India.
"Sasaran operasi berikutan kebanjiran pendatang asing yang menimbulkan ketidakselesaan kepada warga tempatan dan masyarakat setempat.
"Bangunan ini dalam keadaan tidak selesa dan kotor dengan sampah-sarap yang mungkin menjejaskan kesihatan awam dan keadaan dalam bangunan sangat kotor dengan rumah dihuni warga asing secara bersesak-sesak," katanya ketika ditemui.
Tambahnya, terdapat unit rumah yang diubahsuai menjadi lima bilik dan dihuni sehingga 23 penghuni warga asing.
Menurutnya, kediaman tidak terurus itu mendapat permintaan tinggi daripada warga asing yang rata-rata bekerja sebagai pembantu kedai, restoran dan pekerja pembersihan.
"Selain itu, kita juga kenal pasti beberapa penempatan PATI dan akan serbuan susulan akan menyusul dalam masa terdekat," ujarnya.
Tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.