TAHUN baharu ini membawa bersama pelbagai cerita, warna dan cabaran yang tidak mengenal batasan masa atau perbezaan lokasi.
Pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memastikan pengisian masa dilaksanakan secara optimum kerana keperluan rakyat tidak bernoktah manakala pelaksanaan dasar perlu disegerakan tanpa lengah.
Semua lapisan pemimpin cuba memberikan yang terbaik dan sebagai Menteri Kerja Raya, saya menanam aspirasi menjadikan 2025 dipenuhi pengisian bermakna dalam aspek perkhidmatan, tindak balas dan keprihatinan terhadap apa juga perkara berbangkit.
Tanggungjawab asas warga Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak berubah iaitu bertanggungjawab memastikan keadaan jalan raya dan perabot dilengkapi seperti tanda, pembahagi jalan dan lampu isyarat berfungsi dengan baik manakala persekitaran merangkumi lereng bukit serta cerun tidak menjadi ancaman.
Jika mahu membina rumah, kita perlukan tukang yang baik. Begitu juga iltizam KKR dalam menunaikan segala amanah dan tanggungjawab tahun ini kerana perancangan di atas kertas sahaja tidak bermakna tanpa pelaksanaan teratur.
Dugaan Monsun Timur Laut bermula November tahun lalu dan dijangka berakhir bulan depan turut dirasai tempiasnya oleh KKR.
Kesan banjir di Semenanjung yang berada dalam bidang kuasa KKR sudah dan sedang dikenal pasti serta diambil tindakan tuntas terutama aspek membaiki jalan dan kemudahan berkaitan.
Ketika ini, banjir menjadi dugaan penduduk di Sabah dan Sarawak. Segala keperluan berkaitan dan baik pulih prasarana kerajaan Persekutuan akan dilaksanakan sebaik keadaan mengizinkan.
Tahun ini akan menjadi ruang memperkasa anjakan paradigma sikap, budaya, tenaga dan semangat kerja yang bersungguh-sungguh dalam kalangan warga kerja KKR.
Saya mahu tunjang perkhidmatan KKR menjurus kepada melakukan semuanya secara beretika, cekap, amanah serta penuh integriti.
Meminjam kata-kata anak muda sekarang ‘hidup ini keras’, saya akui hakikat itu kerana himpitan realiti bukan sedikit dan kita perlu berusaha tanpa henti untuk menikmati hasil terbaik.
Keutamaan kita ialah kesejahteraan rakyat sebagai pemegang taruh paling penting. Saya mahu akronim KKR ‘Kasih Kepada Rakyat’ turut dikenali ramai.
Masa tidak menunggu sesiapa, malah kelewatan sesaat boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Itu sebabnya saya tekankan aspek ‘sense of urgency’ atau kepantasan bertindak sebagai keutamaan kerana banyak tanggungjawab di bawah KKR membabitkan keselamatan.
Peringatan ini turut terpakai bagi semua syarikat konsesi terutama diberi tugas menyelenggara kemudahan masing-masing.
Semua pihak perlu proaktif dan peka tanpa menunggu keadaan tular atau keluhan rakyat di media sosial.
Jika ada yang menjadi bualan, biarlah ia mengenai kepantasan kita bertindak dan kepekaan terhadap masalah rakyat.
Kita bukan dambakan pujian melangit, tetapi mahu semua pihak menikmati kepuasan hasil kecekapan warga KKR.
Melangkah ke hadapan, kita mengharapkan 2025 dipenuhi pengisian bermakna yang mencerminkan kesungguhan kerajaan membela rakyat secara berterusan, bukan bermusim.
KKR tidak memilih tanggungjawab berdasarkan fahaman politik, perbezaan kaum atau anutan agama kerana dedikasi kita bersifat ‘buta warna’.
Golongan yang menentang dan membangkang akan selama-lamanya mencari kesalahan walaupun sebesar zarah, namun itu tidak menjadi kudis buat kementerian ini.
Saya berlapang dada terhadap teguran kerana dalam skala lebih meluas, fokus KKR ialah memberi makna besar terhadap kehidupan rakyat.
Sikap ini adalah kerangka besar yang mendasari pelaksanaan konsep ‘no wrong door policy’ dalam program MYJalan yang dilancarkan tahun lalu.
Bersama masa, persepsi negatif mulai kendur dan semakin banyak pihak memahami serta menyatakan komitmen meningkatkan keberkesanan program MYJalan serta aplikasinya.
Tahun ini, antara janji utama perlu dikotakan KKR termasuk oleh pemegang konsesi ialah memastikan jalan raya berkeadaan selamat dan selesa bagi semua pengguna, tidak kira ketika musim aliran trafik meningkat atau pada hari biasa. Ia tidak mudah, namun bukan juga mustahil.
Bila mana kita perlu memanfaatkan teknologi, jangan takut mempelajari perkara baharu.
Teknologi bukan ancaman sebaliknya pengetahuan yang mampu mengubah cara berfikir dan mencetuskan idea serta inovasi baharu seiring perkembangan semasa.
KKR akan mengadaptasi teknologi dalam pelbagai bidang berkaitan terutama jalan dan bangunan termasuk menangani isu ‘ projek sakit’ yang kerap disentuh Perdana Menteri.
Bilangan membabitkan KKR tidaklah besar tetapi ia tetap ada dan wajar ada iltizam tinggi untuk disifarkan.
Azam perlu subur membara sepanjang masa. Untuk itu, KKR mahu memastikan usaha memulihkan projek sakit ditingkatkan selain menoktahkan aduan ketirisan.
Sejajar usaha meningkatkan akauntabiliti, saya berpandangan sistem merit wajar dilaksanakan bagi mengukur tahap prestasi syarikat konsesi dan kontraktor dalam menyempurnakan tugas mereka.
Perincian sistem ini akan dibincangkan dengan menyeluruh di peringkat pengurusan KKR bersama pihak konsesi dan kontraktor supaya kata sepakat dapat dicapai.
Begitu juga platform pengurusan digital untuk memantau setiap aspek projek secara telus daripada perancangan hingga peringkat penyelenggaraan.
Sistem data raya atau ‘big data’ bagi menilai prestasi projek dan mengenal pasti ruang perlu diperbaiki sebelum menjadi masalah berbangkit, sekali gus mendapat hasil kerja optimum.
Sebagai wakil rakyat pula, mendengar aduan rakyat adalah antara rutin saya jika pulang ke Kapit.
Bagaimanapun, ia bukan bermakna pegawai dan kakitangan agensi KKR boleh memandang sepi aduan diterima dan menyifatkannya sebagai tugas menteri atau wakil rakyat semata-mata.
Tuntutan kini jauh berbeza. Kita berada dalam era maklumat ada di mana- mana dan rakyat peka dengan persekitaran mereka.
Saya yakin, yang susah akan menjadi mudah jika kita saling melengkapi sebagai satu pasukan dengan satu matlamat iaitu menjaga rakyat.
Seperti mana fitrah jalan raya, warga KKR membulat tekad untuk berganding seiring melangkah ke hadapan.
Kita bawa bersama pengalaman sebagai teladan dan berpegang teguh kepada ‘Yang rosak kita baiki, Yang elok kita susuri’ sepanjang perjalanan.
* Alexander Nanta Linggi ialah Menteri Kerja Raya