Program vaksin influenza dapat sambutan luar biasa

Iklan
Daniel Gooi memantau pemberian vaksin influenza di Klinik Kesihatan Jalan Macalister pada Selasa.

GEORGE TOWN - Sebanyak 24 klinik kesihatan melaksanakan program pemberian vaksin influenza percuma kepada warga emas di seluruh negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, program imunisasi diperkenalkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat sambutan luar biasa apabila janji temu di beberapa klinik kesihatan didapati penuh sehingga akhir Mac.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua janji temu vaksin influenza secara percuma bermula Selasa dibuat menerusi aplikasi MySejahtera.

"24 klinik kesihatan melaksanakan program ini yang mana membabitkan tujuh daerah Timur Laut, tiga di Barat Daya, masing-masing enam di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah dan dua di Seberang Perai Selatan.

Iklan

"Sehingga kini, ada beberapa klinik sudah penuh (janji temu) sehingga 28 Mac nanti.

"Oleh itu, orang ramai berusia lebih 60 tahun dan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik dinasihatkan membuat janji temu secara dalam talian untuk mendapatkan vaksin influenza di klinik berhampiran," katanya pada sidang akhbar di Klinik Kesihatan Jalan Macalister di sini pada Selasa.

Iklan

Tambahnya, sebanyak 4,000 dos vaksin influenza disediakan untuk fasa pertama program berkenaan di Pulau Pinang.

"Untuk kes influenza, daripada pemerhatian dan pemantauan dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, ia tidak merisaukan. Orang ramai tidak perlu risau.

"Kita tidak ada pangkalan data kukuh mengenai jumlah kes kerana influenza adalah penyakit berjangkit yang tidak perlu berdaftar. Ia tidak seperti Covid-19 dan sebagainya," katanya.

Menurut Daniel, walaupun kes influenza di negara ini masih terkawal berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vaksinasi tetap penting bagi melindungi golongan berisiko tinggi antaranya pesakit diabetes, jantung, hipertensi, obesiti (BMI melebihi 30) dan buah pinggang kronik.

"Program ini bukannya wajib tetapi hanya inisiatif sukarela bagi memastikan kesihatan warga emas lebih terjaga.

"Untuk mendapatkan janji temu dan sebagainya, memang kami menggalakkan orang awam berkelayakan mendapatkan slot melalui aplikasi MySejahtera.

"Kami tidak menggalakkan 'walk-in' kerana bimbang dos vaksin tidak mencukupi selain mengelak kesesakan di klinik kesihatan," jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memantau program imunisasi tersebut bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.

Sementara itu, salah seorang penerima vaksin terawal, Lim Kim San, 65, mendakwa sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera secara sukarela untuk mendapatkan vaksin percuma.

Bekas guru itu berkata, dia bertanggungjawab melindungi keluarganya berikutan seorang yang aktif serta sering bertemu dengan orang ramai.

"Saya mendaftar secara sukarela, tanpa disuruh oleh sesiapa. Selain untuk diri sendiri, saya juga bertanggungjawab untuk melindungi keluarga. Tambahan pula saya ada dua cucu berusia tiga dan enam tahun.

"Proses pendaftaran di MySejahtera juga sangat mudah, saya daftar 14 Februari lalu dan dapat slot untuk terima vaksin pada hari ini," katanya.