Kerusi roda elektrik beri harapan OKU sambung belajar

Iklan
Puteri Aisyah yang berkerusi roda menerima bantuan peralatan kemudahan itu yang disampaikan oleh Siti Farahida (tiga dari kanan sambil diiringi Dr Wan Rosli (dua dari kanan).

KOTA BHARU - Bantuan kerusi roda elektronik yang diterima seorang bekas calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Puteri Aisyah Muhammad Kamal, 18, menjadi suntikan semangat untuknya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Puteri Aisyah ialah orang kurang upaya (OKU) yang menghidap masalah tulang pinggul terkeluar dari kedudukan asal sejak lahir berkata, sebelum ini dia menghadapi kesukaran bergerak dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan ibu dan ahli keluarga untuk ke mana-mana.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini, saya terpaksa mengesot menaiki lapan anak tangga di rumah kerana kediaman kami bertiang tinggi dan terletak di kawasan kerap banjir, kalau keluar rumah, saya perlu dipapah kerana tidak mampu berjalan jauh.

"Kerusi roda elektronik ini sangat membantu saya, terutamanya jika saya berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kerusi Roda OKU Asnaf di Pusat Transformasi OKU Universiti Sains Malaysia (USM) - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir merasmikan majlis itu ialah Pegawai Agihan Zakat mewakili Yang Dipertua MAIK, Siti Farahida Fauzi.

Puteri Aisyah (kanan) ditemani Aziah (kiri) hadir bagi menerima sumbangan kerusi roda.

Puteri Aisyah yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedai Buloh mengakui cabaran besar yang dilaluinya untuk menduduki SPM.

Iklan

"Saya terpaksa mengambil peperiksaan di Hospital Pakar USM kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan saya berulang-alik ke sekolah.

"Saya kerap lenguh dan tidak boleh duduk lama, setiap kali pulang dari sekolah, saya akan terus berbaring untuk melegakan sakit,” katanya.

Menurutnya, keadaannya semakin merosot sejak Tingkatan Tiga sehingga menyebabkan dia tidak dapat ke sekolah selama setahun.

Dia juga sudah menjalani dua pembedahan pada bahagian pinggul dalam tempoh dua tahun terakhir.

Dalam pada itu, ibunya, Aziah Muhammad, 54, berkata dia sentiasa menyokong impian anaknya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Sebagai ibu, saya harap dia dapat menyambung pengajian dalam bidang yang sesuai dengan keadaannya.

"Bantuan ini amat bermakna kerana memberi semangat baharu kepadanya untuk mengejar cita-cita sebagai guru,” katanya.

Dia juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan dan memerlukan rawatan susulan di hospital antara dua minggu sekali hingga sebulan sekali.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr Wan Rosli Wan Ishak, berkata, seramai 110 orang OKU menerima kerusi roda yang diubah suai mengikut keperluan fizikal mereka, hasil kerjasama Pusat Transformasi OKU USM-MAIK.

"Proses ini melibatkan sukarelawan dan pakar yang membuat penyesuaian termasuk modifikasi untuk memudahkan pergerakan serta aktiviti harian.

"Projek ini mendapat sokongan daripada MAIK yang menyumbang dana berjumlah RM340,000 untuk memastikan setiap kerusi roda sesuai dengan keperluan penerima,” katanya.