Nampak tangan Aiman terkapai-kapai dalam sungai - Rakan

Iklan
Lokasi Muhammad Nazrin Haidar dan Muhammad Naufal Aiman yang dikhuatiri dibawa arus ketika cuba mengambil bola yang jatuh ke dalam sungai. Gambar kecil: Muhammad Naufal Aiman (kiri) dan Muhammad Nazrin Haidar

PARIT -"Kami nampak tangan Aiman terkapai-kapai dalam sungai, sekelip mata hilang, kami tak sempat buat apa-apa."

Demikian kata Mohd Irfan Solihin Mohd Rizal, 14, rakan kepada dua pelajar sekolah yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam Sungai Perak dekat Kampung Tepus, Tanjung Belanja di sini.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, mangsa, Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham dan Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain masing-masing berusia 16 tahun pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah, di sini hilang dibawa arus ketika cuba mengambil bola yang jatuh ke dalam sungai.

Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bersama Mohd Irfan dan dua lagi rakan bermain bola di kawasan beting pasir sungai berkenaan.

Iklan
Mohd Irfan

Mohd Irfan berkata, mereka berlima memang berpakat pergi ke beting pasir itu untuk bermain bola dan mandi sebaik sahaja selesai sesi sekolah.

Katanya, semasa bermain, secara tidak sengaja bola berkenaan tersepak jauh dan jatuh ke dalam sungai menyebabkan Muhammad Naufal Aiman mahu mengambilnya.

Iklan

"Kami dah larang dia supaya tidak ambil bola itu, tetapi dia mahu pergi juga. Selepas lihat Aiman terjatuh, Nazrin turun ke dalam sungai dan cuba hulur batang buluh kepadanya, tetapi dia tak dapat capai," katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini pada Selasa.

Mohd Irfan berkata, kejadian berlaku terlalu pantas apabila Muhammad Nazrin Haidar dihanyutkan arus deras sementara Muhammad Naufal Aiman pula dalam keadaan terkapai-kapai sebelum hilang.

"Saya sempat dengar Aiman jerit meminta tolong, sekali sahaja, selepas itu terus senyap.

"Dalam keadaan panik, saya terus lari naik ke tebing mencari orang kampung untuk meminta pertolongan," katanya.

Dia yang masih terkejut dengan kejadian itu mengakui bahawa, mereka memang sudah terbiasa menjadikan kawasan beting pasir itu sebagai tempat bermain dan mandi.

"Kami kawan sejak kecil dan sekarang kami kehilangan dua rakan baik," katanya.

Setakat jam 1 petang, operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan masih belum menemui mangsa.