PASIR MAS - Seorang bapa kepada lima orang anak kini hanya mampu terlantar di atas katil selepas dihempap motosikal yang ditungganginya bersama isteri semasa cuba mengelak sebiji bola yang melintas di hadapan pagar sebuah sekolah di sini pada 11 Disember lalu.
Bakri Che Seman @ Nordin, 45, berkata, semasa hari kejadian sekitar jam 4.30 petang dia bersama isteri, Siti Nurashiqah Abdul Azid, 41, dalam perjalanan mengambil anak dari Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).
"Semasa menghampiri pintu masuk sekolah, tiba-tiba muncul sebiji bola sepak bergolek di hadapan motosikal kami. Saya cuba mengelak sehingga menyebabkan motosikal terbalik dan menghempap kaki, manakala isteri pula tercampak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah di Kampung Tanjong, Bunut Susu di sini pada Selasa.
Menurutnya, disebabkan kejadian itu tulang di betis kaki kanannya hancur sehingga dia tidak dapat berjalan.
Ujarnya, selama 38 hari dia dirawat di Hospital Tanah Merah sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
Bakri memberitahu, dia kini perlu bergantung dengan tongkat serta kerusi roda untuk bergerak.
"Sepanjang dua bulan terlantar, saya tidak dapat bekerja. Sebelum ini saya bekerja sendiri sebagai juru kimpal.
"Melihat keadaan sekarang, mungkin ia akan mengambil masa yang lama untuk sembuh dan kembali bekerja. Mujurlah ada ahli keluarga yang sudi membantu meringankan beban kami kerana isteri hanya suri rumah," katanya yang mempunyai anak berusia empat hingga 15 tahun dan empat daripadanya masih bersekolah.
Dia memberitahu, sebelum ini mereka terpaksa meminjam RM6,000 daripada ahli keluarga untuk kos memasukkan besi di kaki.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang kepada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03027029652122.