KLANG - Sebuah kereta terbakar hampir 90 peratus setelah bertembung dengan sebuah lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Bukit Cerakah, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan dari arah Jalan Paip, Meru menghala ke Puncak Alam itu jam 9.15 pagi
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian jam 6.30 pagi itu berlaku apabila kereta dipandu oleh seorang lelaki yang datang dari arah Puncak Alam cuba memotong kenderaan lain di hadapannya, tetapi telah hilang kawalan.
Kata beliau, kereta tersebut kemudiannya masuk ke arah laluan bertentangan dan melanggar lori PDRM.
"Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan terbakar hampir 90 peratus, sementara lori PDRM mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
"Pemandu kereta dari rumahnya di Puncak Alam dan menuju ke kilang di Kota Damansara, manakala lori PDRM dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menuju Pusat Koreksional, Puncak Alam bagi mengambil orang kena tahan (OKT)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, akibat kemalangan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan di kepala dan disyaki patah kaki kiri, sementara pemandu lori PDRM dan dua penumpang mengalami cedera ringan.
Katanya, kedua-dua pemandu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor V Kumarendran di talian 017-5253136 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan," ujarnya.