ALOR SETAR - Kelompok minoriti sama ada kaum, agama, taraf hidup, pendidikan dan ideologi politik tidak akan dipinggirkan dalam menentukan sebarang dasar atau keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Kedah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sentiasa berpegang pada prinsip bahawa semua rakyat di Kedah mempunyai hak sama sepertimana termaktub dalam undang-undang dan Perlembagaan.
Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa menghormati dan meraikan hak-hak tersebut.
"Saya tegaskan dalam ucapan-ucapan sebelum ini bahawa saya bukanlah Menteri Besar untuk orang Melayu sahaja dan Islam sahaja, juga bukan untuk orang PAS atau Perikatan Nasional (PN) sahaja, tetapi bertanggungjawab ke atas semua 2.2 juta rakyat Kedah.
"Saya adalah Menteri Besar yang diberi mandat oleh Sultan Kedah menguruskan kesejahteraan semua penduduk negeri Kedah, tidak kira yang mengundi atau tidak mengundi Perikatan Nasional (PN) ketika pilihan raya," katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Kedah di Jambatan Pintu Gerbang Muhibah Pekan Cina di sini pada Ahad.
Terdahulu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Turut berangkat, Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, amanah daripada Sultan Kedah bukan sahaja dipertanggungjawabkan ke atasnya di dunia, bahkan untuk dijawab di hadapan ALLAH SWT di akhirat kelak.
"Kita ada seramai 276,000 rakyat daripada keturunan Tionghua, walaupun dalam jumlah yang minoriti," katanya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan sentiasa bekerja keras untuk membawa kesejahteraan dan kemakmuran, sekali gus mempermudahkan setiap urusan kehidupan mereka seperti warga Kedah lain.
"Sebagai hamba Tuhan, kita tidak boleh memilih kaum atau warna kulit untuk kita dilahirkan, yang kita boleh pilih ialah agama atau kepercayaan," katanya.
Muhammad Sanusi memberitahu, beliau sendiri mempunyai darah keturunan Cina dari sebelah datuknya yang berhijrah dari Tanah Besar China ke Tanah Melayu dan memeluk agama Islam di negeri ini.
Katanya, ajaran Islam menegah daripada mendiskriminasikan warna kulit dan Islam juga tidak memaksa dalam beragama.