SHAH ALAM - Bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh hanya perlu dikecualikan daripada mendengar kes berkaitan Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Ahmad Terrirudin tidak perlu direhatkan daripada tugasnya selaku Hakim Mahkamah Persekutuan.
"Adalah tidak munasabah untuk beliau (Terrirudin) mempengaruhi keputusan kes adendum kerana badan kehakiman hari ini dilihat sebuah badan yang bebas.
"Maka, apa jua keputusan berkaitan kes titah adendum pasti didengar dan diputuskan secara adil dan luar pengaruh," katanya pada satu kenyataan pada Ahad.
Semalam, peguam, Mohammad Haniff Khatri Abdulla dan Datuk Hasnal Rezua Merican mencadangkan supaya Ahmad Terrirudin digantung sementara daripada tugasnya sebagai hakim Mahkamah Persekutuan sehingga isu Titah Adendum diraja ini diselesaikan.
Hasnal berkata, kesilapan Ahmad Terrirudin berhubung Titah Adendum telah mengelirukan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang akhirnya menolak tindakan undang-undang Najib untuk mengesahkan kewujudan adendum tersebut.
Menurut Hasnal, tindakan itu juga menyebabkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kepada parlimen dengan menyifatkan dokumen itu sebagai sekadar 'khabar angin'.
Hasnal turut menegaskan, keputusan di Mahkamah Persekutuan akan menjadi rujukan sah yang mengikat dari segi undang-undang.
Isu berkenaan berkisar tentang kewujudan satu titah tambahan daripada pihak Istana Negara dikeluarkan pada 29 Januari tahun lalu, yang didakwa membenarkan Najib, yang sedang dipenjarakan menjalani baki hukumannya sebagai tahanan rumah.
Bagaimanapun, Ahmad Terrirudin merupakan Peguam Negara, ketika Lembaga Pengampunan bersidang dan memberikan pengurangan hukuman kepada Najib.
Ahmad Terrirudin kemudiannya digantikan oleh Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara, pada November tahun lalu.
Titah Adendum tersebut didakwa dilampirkan bersama titah utama yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri itu ke enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat pelaburan negara yang bermasalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib bergantung kepada kewujudan Titah Adendum ini dalam usaha mahkamah sivilnya untuk memaksa Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara melaksanakan tahanan rumah ke atasnya.