KOTA BHARU -"Anak saya tidak mengandung.” Demikian luah Siti Nazirah Razali, 35, apabila ada yang memandang sinis kepada perut anaknya berusia 12 tahun yang kelihatan buncit seakan-akan perempuan hamil.
Lebih mengejutkan, katanya, ada yang berani bertanyakan soalan itu khalayak ramai sehingga membuatkan terkedu dan matanya berkaca menahan kesedihan memikirkan ujian dihadapi anaknya itu, Nor Ariana Mohd Shahrul Afendi.
Anak sulung daripada dua beradik itu menghidap penyakit mixed germ cell tumour (yolk sac and teratoma) iaitu melibatkan ketumbuhan yang mengandungi sel rambut dan gigi sehingga membuatkan perutnya membuncit.
Siti Nazirah memberitahu, penyakit ketumbuhan anaknya itu dikesan ketika berusia sembilan tahun.
"Pada waktu itu saya perasan perutnya kelihatan seperti mengeras. Bila ditanya, Nor Ariana memberitahu dia tidak merasa sebarang sakit.
"Sehinggalah satu hari dia mengadu sakit perut seperti memulas. Kami bawa ke klinik dan apabila diperiksa didapati dia menghidapi sembelit. Doktor hanya memberikan ubat sembelit,” katanya kepada ketika ditemui Sinar Ahad di rumahnya di Kampung Pauh Badang, Pengkalan Chepa di sini.
Menurut suri rumah itu, episod duka bermula apabila Nor Ariana sekali lagi diserang sakit perut yang memulas dan sukar untuk membuang air besar, sebelum ketumbuhan mula dikesan.
Ujarnya, hasil pemeriksaan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) mengesahkan anak mereka menghidap kanser.
Siti Nazirah memberitahu, sejurus menerima khabar tersebut, dia dan suami, Mohd Shahrul Afendi Mat, 38, hilang kata-kata serta menangis terkenangkan nasib anak.