PUTRAJAYA - Seorang ibu tidak dapat menahan sedih kerana gagal melunaskan nazar untuk membawa anak lelakinya yang baharu sembuh dari penyakit apendiks dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunaikan umrah selepas mereka gagal terbang ke Makkah Januari lalu.
Menurut Siti Suwaibah Mohd Nasir, 31, ia selepas sebuah syarikat pengendali umrah terpalit kontroversi baru-baru ini didakwa gagal menguruskan visa, tiket dan penginapan mereka di tanah suci itu.
"Antara tujuan saya mahu membawa keluarga menunaikan umrah sebagai tanda kesyukuran apabila anak pulih dengan cepat selepas dua kali menjalani pembedahan disebabkan apendiks pecah sebulan sebelum peperiksaan SPM bermula 2 Disember lalu.
"Pada mulanya doktor memaklumkan anak saya mungkin tidak dapat menduduki peperiksaan SPM dan mungkin terpaksa berbuat demikian tahun depan. Jadi saya bernazar jika anak saya sembuh dan dapat menduduki peperiksaan saya akan membawanya dan ahli keluarga lain untuk menunaikan umrah,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Difahamkan Siti Suwaibah antara kira-kira 600 jemaah umrah yang terkandas untuk diterbangkan ke tanah suci setelah penerbangan mereka ditunda syarikat pengendali ibadah berkenaan.
Dia yang berasal dari Muar, Johor itu turut kesal kerana sehingga kini syarikat berkenaan tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai status penerbangan dan jadual penerbangan baharu kepada jemaah umrah yang terkesan.
Menurutnya, antara alasan yang diberikan ialah masalah visa dan tempahan hotel penginapan yang dikatakan dibatalkan oleh pihak Arab Saudi.
"Saya terpaksa membuat laporan polis selepas syarikat pengendali umrah terbabit gagal menunaikan janji dan telah berunding agar memulangkan semula wang berjumlah hampir RM50,000 dibelanjakan untuk menunaikan umrah.
"Saya memang tidak boleh maafkan begitu sahaja kecuali mereka sedia berunding, mendapatkan visa, membelikan tiket dan kemudahan termasuk hotel serta mengatur pengangkutan untuk kami sekeluarga menunaikan umrah seperti dijanjikan sebelum ini," katanya.