GEORGE TOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung prosedur operasi standard (SOP) penggunaan senjata api dalam kejadian tembakan melibatkan warga asing di perairan Tanjung Rhu, Januari lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menjalankan siasatan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang dalam menjalankan tugas.
"Prosedur penggunaan senjata api dan SOP berkaitan akan dikaji dalam siasatan ini.
"Terdapat dua peringkat siasatan, pertama oleh Maritim untuk siasatan dalaman dan kedua, PDRM yang akan menyiasat secara teliti jika ada pelanggaran undang-undang dalam pelaksanaan tugas," katanya selepas merasmikan Sambutan 2 Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh pada Sabtu.
Beliau menjelaskan bahawa Maritim Malaysia berhadapan dengan ancaman nyawa dalam menjalankan tugas, terutamanya dalam situasi seperti kejadian tembakan itu yang berlaku pada jam 3 pagi di tengah laut dalam keadaan gelap.
"Itu semua kita akan faham kalau kita memposisikan diri dalam situasi tersebut. Ia merupakan satu bentuk strategi namun ia perlu mengikut SOP termasuk penggunaan senjata api dan sebagainya. Ini semua sedang dalam siasatan polis dan Maritim Malaysia," katanya.
Saifuddin juga mengesahkan bahawa warga asing yang terlibat dalam kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan migran.
"Siasatan oleh PDRM sedang berlangsung yang mana polis telah menahan individu yang bertindak sebagai 'transporter' beberapa hari selepas insiden berlaku.
"Siasatan awal mendapati kejadian ini berkaitan dengan aktiviti penyeludupan migran. Jadi polis akan siasat juga di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
"Aktiviti penyeludupan migran merupakan satu jenayah yang serius di bawah akta berkenaan. Jadi kita biarkan dulu proses siasatan itu berlangsung. Saya akan memberi maklumat lanjut kepada media dari semasa ke semasa," katanya.
Sebelum ini media melaporkan lima lelaki warga Indonesia termasuk seorang maut ditembak di perairan Tanjung Rhu, Banting, Selangor dipercayai melanggar bot dan menyerang Maritim Malaysia yang menjalankan tugas rondaan.
Siasatan mendapati bot suspek melanggar sebanyak empat kali sebelum dua daripada mereka cuba menyerang penguat kuasa dengan parang.
Justeru, atas faktor keselamatan dan mempertahankan diri, pegawai Maritim terpaksa melepaskan beberapa tembakan ke arah bot itu.
Maritim perluas SWASLA, perkukuh pemantauan perairan negara
GEORGE TOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan meningkatkan pemantauan maritim secara masa nyata dengan memperluaskan pemasangan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di kawasan strategik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini, terdapat dua zon SWASLA yang telah beroperasi iaitu di Lumut, Perak bagi memantau perairan Selat Melaka dan di Sabah untuk mengawasi kawasan Pantai Barat negeri itu.
Menurutnya, sistem SWASLA akan dipasang di lokasi hotspot jenayah maritim seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan migran dan penyeludupan barangan bercukai.
"Kami akan memperluaskan pemasangan sistem ini ke perairan Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia bagi memantau semua jenis pergerakan bot atau kapal di perairan negara,” katanya kepada selepas merasmikan Sambutan 2 Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh di sini pada Sabtu.
Lebih 5,000 pengunjung membanjiri acara tersebut dan berpeluang menyaksikan demonstrasi khas oleh Pasukan Star Team Maritim Malaysia.
Selain itu, Saifuddin berkata, penggunaan dron dan Unmanned Aerial Vehicles (UAV) juga akan diperluaskan bagi mengawasi kawasan laut yang sukar diakses.
"Langkah ini sejajar dengan Pelan Strategik Maritim Malaysia 2023-2033 yang memberi penekanan kepada pemodenan aset serta peningkatan kecekapan operasi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Maritim Malaysia akan melaksanakan Program Repowering serta Ship Life Extension Programme (SLEP) bagi memanjangkan jangka hayat kapal dengan kos lebih efektif.
"Bagi memperkukuh kawalan perairan, Maritim Malaysia akan memperoleh beberapa Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) yang boleh membawa helikopter bagi mempertingkatkan pemantauan dan rondaan maritim.
"Selain itu, Maritim Malaysia juga dijangka menerima empat helikopter Agusta Westland AW189 Medium Lift pada tahun 2026. Perolehan kapal baharu, termasuk dua Kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) dan empat Kapal New Generation Patrol Vessel (NGPV), juga sedang dalam proses,” tambahnya.
Menurut Saifuddin, kerajaan telah meluluskan beberapa projek di bawah Rolling Plan ke-5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tahun 2025.
"Antara projek yang telah diluluskan termasuk pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Salak Tinggi, pembinaan Pejabat & Jeti Operasi Maritim Sabah dan Labuan di Teluk Sepanggar, pembinaan Jeti Pos Batu Putih, Perlis, pembinaan Stesen Udara Maritim di Sandakan, Sabah serta kerja-kerja naik taraf jeti bagi menampung keperluan aset operasi.
"Langkah-langkah ini bertujuan untuk memperkukuhkan keupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terjamin," katanya.