BINJAI - Seorang guru sambilan Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 4 Binjai, Sumatera Utara, yang didakwa meminta gambar pelajar perempuan berbikini telah dipecat berkuat kuasa Rabu.
Bagaimanapun, sehingga kini, Polis Resor (Polres) Binjai belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mangsa yang dikatakan menjadi sasaran gangguan seksual tersebut.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polres Binjai, Iptu Rino Heriyanto, mengesahkan perkara itu menasihati mangsa agar tampil membuat laporan polis bagi memudahkan proses siasatan.
"Polres Binjai belum menerima laporan daripada mangsa. Namun, kami bersedia menerima sebarang aduan sekiranya ada,” kata Rino ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya telah melakukan lawatan ke sekolah berkenaan bersama pasukannya untuk menjalankan siasatan awal.
Pemberhentian guru dikenali sebagai NN itu dibuat berdasarkan surat pemberhentian kerja bernombor 423.1.33/SMAN4Binjai/II/2025, dikeluarkan oleh pihak sekolah.
Sementara itu, Pengetua SMAN 4 Binjai, Muslimin Lubis, dalam kenyataan bertulisnya pada Selasa, menjelaskan keputusan itu diambil susulan penilaian terhadap kesalahan berat dilakukan oleh NN.
"Berdasarkan hasil penilaian berkaitan dengan kesalahan berat dari segi tingkah laku, saya memutuskan untuk tidak meneruskan kontrak kerja kepada saudara Novrizal Noor,” kata Muslimin.
Menurut laporan, NN dikatakan telah menghantar mesej tidak senonoh kepada beberapa pelajar perempuan di sekolah tersebut.
Pelaku meminta mangsa untuk menghantar gambar mereka berpakaian minimun atau berbikini, dengan alasan gambar tersebut akan disertakan dalam pertandingan"Casual Girl Gen Z”.
Seorang pelajar yang menjadi mangsa memberitahu, dia dan rakan-rakannya berasa takut dan tidak selesa dengan permintaan pelaku.
"Kami berasa takut. Kalau di sekolah, kami akan berjumpa dengannya (pelaku). Jadi, kami tidak selesa untuk ke sekolah,” kata mangsa, lapor media tempatan.- Agensi