'Mereka berdua pergi pada malam Nisfu Syaaban'

Iklan
Jenazah dua beranak yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kampung Kepah disolatkan di Masjid Kampung Tengkawang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengkawang malam tadi.

HULU TERENGGANU - Dua beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer (km) 13, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris di Kampung Kepah dekat sini pada Khamis selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Jenazah Nursaidatul Aishah Zakari, 36, dan anak sulungnya, Wan Nur Izara Aina Tun Mohd Khairul, 12, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengkawang, di sini kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Iklan
Iklan

Imam 1 Masjid Kampung Tengkawang, Mohd Ismail, 66, berkata, dia tidak menyangka akan turut mengimamkan solat jenazah ahli keluarganya selepas majlis tahlil diadakan di masjid berkenaan pada malam Khamis.

Menurutnya, berita kematian anak saudara dan cucu saudaranya itu diketahui selepas dikongsi menerusi grup WhatsApp penduduk kampung sejurus selepas insiden terbabit.

Iklan

"Kalau ikutkan malam ini komuniti di sini mengadakan bacaan tahlil buat seorang penduduk yang meninggal dunia pada Rabu lalu, dan solat jenazah dibuat selepas bacaan tahlil itu.

"Saya berasa sebak dan turut mengalirkan air mata sebaik tahu kemalangan itu melibatkan anak saudara dan cucu saudara saya yang begitu rapat dengan kami sekeluarga.

Iklan

"Tiada apa yang boleh saya katakan, hanya syukur pada ALLAH SWT, mereka pergi pada malam Nisfu Syaaban. Moga keduanya ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Kampung Tengkawang, di sini malam Khamis.

Menurut Mohd, kematian dua ahli keluarganya itu merupakan kematian keenam direkodkan di kampung tersebut sehingga semalam.

Mohd (kanan) membaca talkin ketika pengebumian ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengkawang, Hulu Terengganu.

"Bulan ini kampung kita rekod kematian yang lebih tinggi berbanding hanya sekitar tiga, atau empat kematian dalam tempoh sebulan sebelum ini.

"Semoga mereka yang telah meninggal dunia diampuni segala dosa, diangkat darjat di sisi ALLAH SWT dan keluarga yang ditinggalkan tabah dan sabar dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Sementara itu, katanya, seorang lagi cucu saudaranya iaitu Tun Nur Ufaira Afifa Tun Mohd Khairul, 9, yang turut terlibat dalam kemalangan itu sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

"Dia terpaksa ditidurkan bagi menjalani pembedahan membuang darah beku pada bahagian kepala.

"Kami di masjid ini turut mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buatnya," kata Mohd.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan dua beranak maut manakala seorang lagi cedera parah apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah keret dinaiki lima pelajar politeknik.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, Nursaidatul Aishah dan Wan Nur Izara Aina maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala seorang lagi mangsa, Tun Nur Ufaira Afifa cedera parah.

Menurut Sharudin, kejadian berlaku kira-kira jam 11.55 pagi ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari kedai di Kampung Kepah menghala ke Kampung Tengkawang.

Katanya, Produa Axia dinaiki lima pelajar lelaki itu telah hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dinaiki mangsa.