Perjuangan LPP bersama peladang penuhi keperluan rakyat

Iklan
LPP telah membuktikan peranannya dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi petani.
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah meniti usia 52 tahun yang pada awalnya ditubuhkan bagi memenuhi hasrat kerajaan mempercepatkan program pembangunan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Sebagai agensi yang mengawal, memantau dan melaksanakan pembangunan, pengurusan serta pendaftar Pertubuhan Peladang (PP), ia membolehkan pergerakannya yang diwujudkan di seluruh negara digerakkan, dipergiat, dipermudah untuk berkembang dan memodenkan sektor agromakanan setiap kawasan yang berselerak dan terpencil di luar bandar.

Sehingga hari ini, dengan kekuatan sebanyak 2,545 anggota LPP dan 3,532 kakitangan lantikannya telah dipertanggungjawab bagi menguruskan 295 (PP) beserta 605,552 ahli peladang di seluruh negara.

Perubahan dan transformasi yang telah dilaksanakan oleh LPP terhadap sosioekonomi peladang semenjak tahun 1973, tidaklah dapat kita menceritakan semuanya kerana terlalu panjang dan berliku.

Secara ringkasnya, para peladang di luar bandar telah berjaya diubah konsep usaha pertanian daripada hanya untuk sara diri kepada mengusahakan secara intensif dengan output yang tinggi untuk tujuan perniagaan dan menjadi sumber pendapatan utama keluarga.

Bagi pesawah yang dahulunya hanya menanam secara konvensional dan menuai secara manual telah diubah corak penanamannya.

LPP sentiasa menyedari sektor agromakanan terdedah dengan pelbagai ancaman dan cabaran masa depan.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Dikelompokkan tanah peladang menjadikannya lebih ekonomi diusahakan dan memudahkan jentera pembajak seperti traktor dan jentuai yang disediakan di Pusat Mekanisasi Peladang untuk dibawa masuk ke kawasan pertanian.

Lori peladang disediakan bagi mengangkut padi ke kilang untuk dikeringkan dan diproses menjadi beras.

Bagi meningkatkan pendapatan hasil tuai mereka, PP menyediakan pusat pengumpulan hasil dan melakukan proses lepas tuai.

Hasil tuaian dibawa ke bandar bagi memastikan pasaran dengan harga lebih terjamin dan segar secara terus, ini dapat mengurangkan manipulasi harga oleh `orang tengah’.

Bagi mendapatkan baja, racun rumpai malahan kelengkapan dan peralatan dengan harga yang berpatutan, PP telah menyediakan gudang dan stor di kedai input pertanian berdekatan ahli peladang.

Ia bagi membolehkan bekalan diperolehi secara pukal dengan harga lebih murah.

Dalam menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut, PP mengutamakan perkhidmatan kepada peladang berbanding keuntungan.

LPP sentiasa menyuntik nafas baharu kepada sektor agromakanan negara dengan melaksanakan inovasi serta mengadaptasi teknologi terkini.


Sebagai sebuah agensi badan berkanun dibawah Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM), LPP turut bertindak sebagai agensi pelaksana dalam mengurus bantuan dan subsidi kerajaan seperti Insentif Tanaman Padi.

PP menyediakan stor-stor simpanan baja dan input pertanian di setiap lokasi yang terlibat.

Malahan LPP telah menempatkan anggotanya sendiri bagi menguruskan segala perolehan kerajaan dengan profesional, cekap dan berakauntabiliti.

Dalam program-program pembangunan KPKM, LPP sebagai agensi kerajaan turut menyalurkan peruntukan geran untuk membangunkan projek-projek pengeluaran agromakanan di bawah Rancangan Malaysia sepertimana dasar-dasar yang ditetapkan oleh kerajaan melalui kementerian itu.

Sejak ditubuhkan, LPP telah membuktikan kewujudannya sebagai agensi yang menerajui pergerakan PP dengan cemerlang.

Dengan adanya sebuah institusi kerajaan yang penting di luar bandar, bukan sahaja kesejahteraan dan kemakmuran hidup peladang terbela malahan ia turut mengubah corak pemikiran dan pola kehidupan sosial peladang yang lebih moden dan teratur.

Ia juga melindungi harta seperti tanah usaha, menguruskan simpanan dan pelaburan peladang di luar bandar dari dipajak atau tergadai kepada pihak luar.

Sebagai pendaftar PP, LPP telah menetapkan indikator kejayaan PP seluruh negara termasuk di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Sabah dan Sarawak melalui penarafan setiap PP.

Struktur Organisasi Pertubuhan Peladang.


Penarafan Kewangan Beraudit bagi tahun 2023, sebanyak 121 buah (41 peratus (%)) PP yang mencapai tahap kategori A iaitu kategori maju. Kategori B 160 PP iaitu sebanyak 11% dan 13 buah (4%) PP pada Kategori C.

Penarafan ini memberi peluang peningkatan kategori PP mendorong pembangunan holistik dengan mengenal pasti kekuatan, kelemahan dan meningkatkan kapasiti pengurusan, operasi serta impak kepada institusi peladang.

Sehingga 52 tahun yang dilalui, hari ini kita berani menyatakan LPP adalah satu-satunya agensi kerajaan yang merupakan catalyst penting bagi negara untuk mengubah peladang yang masih ketinggalan dalam sebarang perubahan landskap pembangunan negara.

Mereka diubah kepada seorang peladang yang memiliki infrastruktur, kelengkapan dan pengangkutan moden, modal serta ruang pemasaran mereka sendiri.

Keunikan LPP juga dapat memartabatkan keterjaminan makanan negara dengan melindungi dan memperkasa kesejahteraan hidup peladang dalam memenuhi keperluan makanan domestik negara.

Sektor pertanian harus lebih berteknologi dan kompetetif

Namun begitu, perjuangan LPP yang mempunyai sejarah gemilang 52 tahun ini tidak mungkin terhenti di sini. Ia seharusnya sentiasa dinamik, berubah mengikut peredaran masa serta landskap semasa pada zaman serba serbi bergerak pantas.

Pembangunan sektor pertanian yang masih berorientasikan pada peningkatan pengeluaran (production oriented) dan masih kurang memberi perhatian kepada kesejahteraan peladang yang mengusahakan dan mengeluarkan hasil dari bumi boleh mengancam dasar keterjaminan makanan dalam jangka masa panjang.



Maka, LPP perlu terus memberi penekanan kepada pengeluaran agromakanan yang optimum setara dengan peningkatan tahap sosioekonomi peladang.

Banyak lagi isu peladang yang perlu ditangani termasuk cabaran kemerosotan keluasan tanah pertanian, kualiti benih untuk penghasilan lebih tinggi dan segera, serangan penyakit, kekurangan sumber air dan umur majoriti pesawah.

Selain itu, cabaran dalam melaksanakan penyampaian bantuan dan insentif kerajaan yang cekap dan pantas, masalah kekurangan data serta banyak lagi perkara perlu diselesaikan di peringkat rantaian pengeluaran termasuklah keperluan modal bagi mengadakan projek berskala besar dan berdaya maju.

Bagi menghadapi cabaran keterjaminan makanan, kerajaan melalui LPP sewajarnya melihat keperluan untuk menerajui industri agromakanan secara keseluruhan.

Ini termasuk mendapat amaran awal berkaitan perubahan monsun, ancaman sekatan eksport, pertumbuhan ekonomi dan geopolitik dunia, pertambahan populasi penduduk, sumber tanah dan air semakin terhad, serangan penyakit dan perosak tanaman/ternakan serta kekurangan penglibatan belia yang akan menyebabkan rantaian sektor agromakanan terjejas dan tidak menentu.

Perubahan teknologi kecerdasan buatan (AI), jaringan pemasaran dan komunikasi berurusniaga berubah dengan pantas harus diadaptasikan dan ditangani.

Penggunaan teknologi mampu meningkatkan kecekapan peladang dan seterusnya meningkatkan hasil.

Malah, perubahan kepada kaedah pertanian berteknologi tinggi penting diadaptasikan oleh peladang terutama generasi mudanya bagi menampung bekalan makanan sejajar dengan pertambahan penduduk negara yang dijangka 50 juta orang pada 2050.

Bagi mendepani kos-kos input pertanian seperti benih, baja berkualiti serta makanan ternakan, LPP perlu menaik taraf serta menambah kecekapan pengeluaran loji benih dan kilang keluaran baja yang sedia ada.

Di samping itu, mereka perlu menerokai kawasan-kawasan baharu bagi penanaman padi benih, tanaman sumber makanan ternakan seperti jagung bijian, napier dan sebagainya.

Ia juga penting bagi menangani kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat dengan kenaikan harga kos makanan.

Bagi meremajakan peladang, PP yang mempunyai projek berteknologi tinggi berjaya sebagai contoh Projek Satelite Pertubuhan Peladang menyediakan program peer to peer bagi mengubah pemikiran belia tentang kebaikan sektor agromakanan dengan menjalani sendiri kehidupan seorang peladang di tapak-tapak projek.

Beberapa kegiatan yang diharapkan mampu menstimulasi peladang agar lebih berdaya maju dan berdaya tahan, antara lain seperti kemahiran, tunjuk ajar, bimbingan akses mereka kepada sumber modal dan pembiayaan sehingga informasi dan teknologi wajar diperkembangkan.

Realitinya, sektor agromakanan kini menghadapi kemerosotan keluasan tanaman berbanding permintaan tinggi pengguna.

Ia perlu ditangani dengan menggerakkan peladang untuk melaksanakan tanaman padi lima musim tempoh dua tahun, menternak ayam secara reban tertutup dan mungkin satu hari nanti menanam di dalam rumah kaca bertingkat seperti diamalkan di Eropah.

Semua halangan boleh diatasi dengan penggunaan teknologi AI dan mekanisasi yang meningkatkan kecekapan serta produktiviti.

Sehubungan itu, LPP harus menyediakan perancangan dan hala tuju dengan melaksanakan perubahan anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi di samping kesejahteraan dan kemakmuran ahli peladang terbela.

PP perlu melaksanakan aplikasi teknologi tinggi, smart-precision farming, pendigitalan pengeluaran, adaptasi mekanisasi automasi terkini, pemasaran secara online, cashless memudahkan transaksi dan penghantaran sekali gus berusaha mengurangkan pergantungan negara kepada makanan import.

Menerokai pemasaran di peringkat rantau atau global juga harus diperhebatkan kerana dengan penambahan kuasa beli pengguna akan beroleh lonjakan berganda seterusnya pendapatan peladang akan bertambah dengan nyata.

Negara akan mengalami krisis sekiranya peladang tidak memainkan peranan dalam memastikan 34 juta penduduk di negara terus mendapat keperluan makanan yang mencukupi dan terjamin keselamatannya.

Tanpa keberadaan LPP, kita akan tertanya siapakah yang akan bertanggungjawap untuk membela dan meningkatkan taraf sosioekonomi peladang di seluruh negara.

Selama ini, peladang dibantu, dibimbing, didorong, dilengkapkan aset serta modal mengusahakan projek-projek berskala besar atau korporat milik tanah peladang individu yang masih belum terurus sepenuhnya melalui PP.

Dapatkah kita bayangkan, apakah peladang yang tinggal terpencil di luar bandar dapat menerima teknologiteknologi terbaharu yang ada di aplikasikan oleh mereka tanpa program transformasi teknologi LPP melalui pergerakan PP diseluruh negara.

Pihak mana yang dapat menyatukan peladang di sesuatu kawasan untuk digembleng mengusahakan projek agromakanan dengan kelengkapan seluruh rantaian pengeluaran seperti pengangkutan dan jentera membajak dan menuai termasuk pemasaran hasil secara terus ke outlet seperti Peladang Outlet.

Keadaan sektor pertanian dan keterjaminan makanan akan menjadi lebih mencabar tanpa adanya sebuah organisasi yang memberi perkhidmatan yang berkesan kepada peladang, penternak dan nelayan.

Sesungguhnya keberadaan LPP amatlah penting sebagai peneraju kecemerlangan pertubuhan peladang bagi meningkatkan dumbangan berkesan dalam sektor agromakanan negara.

Selamat Ulang Tahun Lembaga Pertubuhan Peladang Ke-52.