HULU TERENGGANU - Dua beranak maut manakala seorang lagi cedera parah apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer (km) 13, Jalan Gaung – Kuala Ping – Teris dekat Kampung Kepah di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa yang maut ialah Nursaidatul Aishah Zakri, 36, dan anaknya, Wan Nur Izara Aina Tun Mohd Khairul, 12.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 11.55 pagi ketika mangsa bersama seorang lagi anak, Tun Nur Ufaira Afifa Tun Mohd Khairul, 9, dalam perjalanan pulang dari kedai di Kampung Kepah menghala ke Kampung Tengkawang.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Perodua Axia dinaiki lima pelajar yang ketika itu melalui selekoh menghala ke Kuala Berang telah hilang kawalan, lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dinaiki mangsa.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa, Tun Nur Ufaira Afifa yang cedera parah turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.
"Lima pelajar lelaki terlibat dalam kemalangan itu terselamat, hanya seorang daripada mereka mengalami kecederaan pada tangan dan telah menerima rawatan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.